IPOH: Bangunan Sekolah Melayu Kampung Kuchai di Jalan Dato Onn Jaafar di sini yang berusia lebih 120 tahun perlu diberikan perhatian selepas hampir musnah dalam kebakaran hari ini.
Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee berkata, pihaknya telah membangkitkan tentang pentingnya bangunan itu dijaga daripada terus terbiar kerana ia memiliki nilai sejarah yang tinggi dan warisan orang Melayu di Ipoh.
Menurutnya, bagaimana masalah itu gagal menarik perhatian menyebabkan bangunan itu semakin terabai malahan menjadi sarang aktiviti tidak bermoral.
Beliau berkata, bangunan bekas sekolah Melayu tertua di Ipoh itu adalah tinggalan yang kekal menunjukkan kemajuan di kawasan ini suatu masa dahulu.
“Lokasi sekolah ini juga adalah pusat kecemerlangan akademik orang-orang Melayu yang dibangunkan oleh golongan pembesar dan artistokrat Melayu.
“Kejadian kebakaran di sini hari ini ini sepatutnya membuka mata semua pihak kerana warisan bangunan sekolah itu tidak boleh diganti sekiranya ia musnah,” katanya ketika melihat kesan-kesan
kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah bekas guru bersebelahan bangunan sekolah tersebut.
Dalam kejadian kebakaran pada pukul 10 pagi itu, bangunan sekolah Melayu itu juga nyaris terbakar apabila api turut membakar bahagian tepinya.
Bangunan kayu berdindingkan bertam ini adalah antara sekolah Melayu tertua di Perak yang masih ada di Ipoh tetapi telah lama terbiar tidak berjaga.
Sebuah lagi rumah bekas guru di sebelahnya yang juga dibina pada tahun 1950an turut mengalami kerosakan.
Bagaimana pun, kebakaran berjaya dipadamkan oleh pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit.
Sementara itu menurut seorang penduduk, yang enggan namanya disiarkan, kebakaran dipercayai berlaku dari rumah bekas guru itu didiami gelandangan.
“Sebelum ini ada berlaku kejadian kebakaran kecil di situ tambahan pula terdapat longgokan sampah dan barang-barangan buangan lain,” katanya. – UTUSAN