GEORGETOWN: Sebaik dimaklumkan Kerajaan Arab Saudi, dia terpilih menunaikan ibadah haji tahun ini terus terbayang di fikiran Ahmad Najhan Hassim wajah ibu dan bapanya yang sudah meninggal dunia.
Bagi anak kelahiran Taman Seri Gombak, Selangor yang berusia 30 tahun itu, meskipun gembira dan terharu dijemput menjadi tetamu Allah SWT untuk menunaikan haji tahun ini, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih kerana tidak dapat berkongsi perkara itu dengan kedua-dua arwah yang disayanginya.
Bercerita lanjut, Ahmad Najhan seorang jururawat di Hospital Pakar King Faisal, Jeddah berkata, dia antara 60,000 jemaah yang terpilih menunaikan haji tahun ini.
Daripada 60,000 itu, Kerajaan Arab Saudi menetapkan cuma penduduk tempatan dan orang luar yang menetap di negara itu dibenarkan menunaikan haji.
Jelas Ahmad Najhan, dia mencuba nasib dengan mendaftar untuk menunaikan haji secara dalam talian pada hari pertama pendaftaran dibuka oleh Kementerian Umrah dan Haji Arab Saudi dan tidak menyangka terpilih.
Tambahnya yang masih bujang, turut terpilih seramai 10 rakan jururawatnya yang lain namun tidak semua berpeluang mengerjakannya kerana berdepan masalah cuti bekerja.
“Sudah semestinya saya berasa terkejut dan sayu apabila dimaklumkan terpilih untuk menunaikan ibadah haji dan diberikan kelulusan oleh majikan kerana kuota jemaah terhad disebabkan pandemik Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut Ahmad Najhan yang sudah tiga tahun bekerja di Arab Saudi, sebagai persediaan untuk memulakan ibadah haji, dia kini menjalani kursus berkaitan selama empat hari bermula semalam.
Katanya, kursus itu meliputi penerangan dari segi perjalanan, persediaan kelengkapan selain menambah ilmu berkaitan ibadah tersebut.
“Sepanjang menunaikan ibadah ini, saya akan bernaung di bawah kelolaan syarikat Salam Haji yang akan bekerjasama dengan sebuah agensi tempatan iaitu Syarikat Omar Bali Falemban.
“Berhubung pakej haji pula saya difahamkan terdapat beberapa pakej ditawarkan dan saya mendapat pakej berharga RM14,000.
“Jika diikutkan kos haji ketika pandemik Covid-19 kali ini lebih mahal sedikit kerana sebelum ini kos haji bagi mereka yang menetap di Arab Saudi kurang RM10,000,” katanya. – UTUSAN