SEREMBAN: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu memberi penjelasan yang sebenar kepada seluruh ahli UMNO berhubung dakwaan pengakuan tentang suaranya dalam rakaman telefon yang tular bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Ahli Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Raihan Husni berkata, pengakuan tersebut menyebabkan ahli-ahli parti di peringkat akar umbi seolah-olah ditipu malah menunjukkan UMNO seperti tidak mempunyai pendirian tegas dalam hal ini.
“Saya sebagai ahli UMNO mahu tahu sejauh mana kebenaran tentang hal itu dan hubungan akrabnya dengan Anwar seperti yang kita dengar dalam audio itu.
“Beliau perlu bertanggungjawab, berikan penjelasan lanjut. malah ramai yang telah membuat laporan polis ketika beliau membuat penafian tentang rakaman audio tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Raihan berkata, secara peribadi beliau berpandangan, UMNO perlu ketuai oleh individu yang lebih berkelayakan bagi terus memimpin parti tersebut.
“Saya rasa sudah sampainya masa UMNO untuk pergi lebih kehadapan dengan membawa perjuangan dan aspirasi rakyat ia perlu individu yang lebih berkelayakan untuk memimpinnya.
“Beri kepada muka baharu juga lebih baik asalkan ia lebih layak untuk memimpin dan mengemudi ‘kapal’ yang bernama UMNO ini. Kita tak perlukan pemimpin yang banyak retorik, hari ini cakapnya lain, esok lusa pula cakap lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE