GEORGETOWN: Penduduk negeri ini pagi ini digemparkan dengan kepulan asap hitam tebal yang memenuhi ruang udara di bahagian Perai akibat kebakaran sebuah sebuah kilang pembuatan plastik.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran kilang yang terletak di Simpang Ampat itu pukul 3.53 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian api sedang marak memusnahkan kilang pembuatan barangan plastik berkeluasan kira-kira 740 meter persegi itu dengan anggaran kemusnahan antara 60 hingga 70 peratus.
“Bagaimanapun api dapat dikawal pada pukul 4.35 pagi namun kerja-kerja pengawalan dan pemadaman masih dijalankan sehingga kini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa serta kecederaan dalam kejadian itu dan operasi tersebut dijalankan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap dengan dibantu BBP Batu Kawan, Nibong Tebal dan Bayan Baru.
Sementara itu, kejadian kebakaran itu dengan asap tebal yang boleh dilihat dari bahagian pulau negeri ini menjadi tular di dalam media sosial apabila ramai yang memuat naik dan berkongsi mengenainya khususnya di Facebook.- UTUSAN