PUTRAJAYA: Sejumlah 509 klinik dan hospital swasta diberi kuasa mengeluarkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) kepada pesakit Covid-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kebenaran itu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk memberi kuasa kepada pengamal perubatan swasta.
Menurut beliau, satu pekeliling Ketua Pengarah juga sudah dikeluarkan pada Januari lalu berkaitan pengurusan pesakit yang membuat ujian saringan Covid-19 termasuk di pusat perubatan dan klinik swasta, bagi memastikan peraturan pencegahan dan kawalan wabak dipatuhi.
Beliau menjelaskan, pekeliling Ketua Pengarah yang diedarkan itu mengandungi garis panduan untuk memastikan segala peraturan, pencegahan dan kawalan kepada mereka dalam kalangan penjawat awam dan pengamal perubatan swasta termasuk pekeliling membabitkan bentuk dan kaedah yang perlu dilaksanakan.
“Setakat ini seramai 509 pengamal perubatan swasta diberikan surat kuasa untuk melaksanakan HSO iaitu menyerahkan gelang bagi pesakit dikesan positif dan terus dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) yang diuruskan pusat perubatan swasta terbabit atau dihantar pulang ke rumah dan dipantau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas berhubung langkah kesiapsiagaan dan strategi Kementerian Kesihatan (KKM) menguruskan pandemik Covid-19 di Lembah Klang, malam tadi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong berkata, mana-mana individu yang membuat ujian saringan Covid-19 perlu memaklumkan kepada pengamal perubatan berkaitan sejarah kontak sama ada mempunyai kontak rapat dengan pesakit atau mereka datang dari kawasan berisiko tinggi.
Katanya, pengamal perubatan itu akan menasihati mereka untuk menunggu dengan menjalani kuarantin kendiri sehingga keputusan ujian mereka diperoleh. – UTUSAN