JEMPOL: Kementerian Kesihatan belum memohon tambahan hospital medan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menampung keperluan merawat pesakit Covid-19 yang menunjukkan peningkatan ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Pertahanan senantiasa bersedia untuk membuka empat lagi hospital medan pada bila-bila masa lengkap dengan doktor dan anggota paramedik jika diperlukan oleh Kementerian Kesihatan.
“ATM bersedia membuka empat buah lagi hospital medan kerana kita ada peruntukan kerajaan dengan mempunyai 30 kontrak dan 100 paramedik.
“Bagaimanapun ia bergantung kepada permohonan Kementerian Kesihatan, kalau dirasakan perlu kita buka,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu di Pejabat Daerah dan Tanah Jempol di sini hari ini.
Menurut Ismail Sabri, sebanyak enam buah hospital medan telah dibuka setakat ini yang turut menyediakan kemudahan katil untuk merawat pesakit dan mesin ventilator bagi unit rawatan rapi (ICU).
“Dalam menghadapi penularan Covid-19 ini, ATM bukan sahaja terlibat dalam hospital medan, tetapi juga membantu dalam sekatan jalan raya, Op Benteng malah membantu dalam proses penghantaran vaksin seperti di Sabah dan Sarawak.
“Kita bantu kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk bawa masuk vaksin dan anggota paramedik yang bertugas ke kawasan pedalaman yang sukar dihubungi sama ada dengan jalan raya atau sungai dan kita bawa dengan helikopter,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan program suntikan vaksin secara pandu lalu perlu diperbanyakkan kerana ia tidak memerlukan kawasan yang luas malah lebih mudah dan lancar.- UTUSAN