4 bulan, 2,040 kes dera kanak-kanak direkodkan - Utusan Malaysia

4 bulan, 2,040 kes dera kanak-kanak direkodkan

RINA Mohd. Harun (kiri) melawat seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) 'sindrom down' di Taman Sinar Harapan, Tunku Ampuan Najihah di Temiang, Seremban pada 8 Julai 2021.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat menerima 2,040 kes penderaan ke atas kanak-kanak dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini. 

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pihaknya mengingatkan ibu bapa dan penjaga tidak menjadikan anak-anak sebagai tempat melepaskan kemarahan walaupun mereka berdepan pelbagai dugaan ketika ini. 

“Dalam keadaan sekarang pelbagai dugaan, ada juga yang mula hilang pekerjaan dan sebagai orang dewasa mereka tidak perlu menyalahkan kanak-kanak.

“Sekiranya mereka ada masalah, boleh menghubungi talian kasih 1599 dan keduanya mereka boleh menyertai kumpulan sokongan. Peranan ahli keluarga juga penting dalam hal ini,” kata beliau selepas melawat seorang kanak-kanak  ‘sindrom down’ di Taman Sinar Harapan, Tunku Ampuan Najihah, Temiang dekat sini hari ini.

Terdahulu, pada 24 Jun lalu, polis Kuala Lumpur menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun yang  melecur di beberapa anggota badan dipercayai akibat didera penjaganya di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Kondominium itu didakwa dalam proses didaftar sebagai pusat jagaan kanak-kanak OKU.

Menurut Rina, susulan kes berkenaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  mengambil intervensi atas perintah mahkamah untuk memberhentikan hak kepada orang dan mereka yang layak menjaga  kanak-kanak tersebut. 

“Kanak-kanak itu  sekarang di bawah jagaan JKM dan kami akan terus memantau bukan sahaja dari segi kesihatan malah dari segi emosi kanak-kanak itu kerana saya mahu dia sihat seperti sedia kala. 

“Saya difahamkan sejak mangsa berusia tiga tahun dia sudah berada di sini dan kini dia kembali ke sini lagi (Taman Sinar Harapan). Dia juga masih mengingati jururawat dan penjaga di sini dan mereka cuba mengembalikan semangatnya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Rina  memaklumkan, pusat jagaan kanak-kanak OKU di Wangsa Maju itu masih dalam status pendaftaran. 

“Difahamkan ada lagi penghuni di situ dan pegawai JKM mengadakan pemantauan setiap hari dan sedang menunggu perintah  mahkamah dan hasil siasatan pihak polis. Kami juga akan mengambil tindakan selanjutnya supaya kebajikan kanak-kanak ini dijaga dan supaya tidak ada lagi kes ini berulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya