SIK: Lebih 300 penduduk di Kampung Padang Toi di sini sudah muak dan jemu dengan masalah ketiadaan bekalan air hingga menyukarkan urusan harian yang berlarutan setahun lalu.
Keadaan tersebut menyebabkan penduduk di kampung itu hidup tertekan dan marah kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang gagal mengatasi masalah gangguan bekalan air di kawasan berkenaan.
Penduduk, Noriza Mahmud, 50, berkata, ketiadaan bekalan air bersih untuk kegunaan rutin menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk menjalani kehidupan harian.
Menurutnya, ada penduduk terpaksa bangun seawal pukul 3 pagi untuk menadah bekalan air yang hanya diperoleh pada waktu itu.
Katanya, pada waktu siang pula penduduk langsung tidak mendapat bekalan kerana dipercayai berpunca daripada tekanan rendah.
“Sudah lebih setahun kami menghadapi masalah tersebut dan telah dilaporkan kepada SADA, tetapi masih tiada perubahan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Noriza berkata, penduduk juga kecewa kerana SADA tidak menghantar bekalan air bersih mengikut jadual dan penduduk terpaksa menghubungi SADA untuk mendapatkan bekalan air yang dihantar menggunakan lori.
“Saya dan suami terpaksa mengeluarkan kos lebih RM1,000 untuk membina tangki air di luar rumah dan menahan air pada setiap malam,” katanya.
Seorang ibu tunggal, Shakinah Hassan, 45, pula berkata, dia terpaksa mengupah penduduk membina telaga bawah tanah bagi mendapatkan bekalan air untuk kegunaan harian.
“Saya terpaksa kumpul duit sebanyak RM1,500 daripada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), zakat, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan duit upah menoreh getah untuk membina telaga bawah tanah,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Syed Mohamad Syed Ali, 47, berkata, beberapa penduduk di kampung itu tinggal berhampiran dengan Sungai Chepir tetapi mereka tidak dapat menggunakan air sungai itu kerana keruh dan tercemar.
“Air sungai ini semakin keruh dipercayai berpunca daripada projek lombong pasir dan pembalakan,” katanya.
Tambahnya, kebanyakan penduduk tidak mampu untuk membina telaga bawah tanah dan bergantung sepenuhnya kepada air yang dibekalkan SADA.
Sehubungan itu dia berharap SADA dapat mengatasi segera masalah ketiadaan bekalan air yang dihadapi penduduk. – UTUSAN