SHAH ALAM: UMNO Bahagian Shah Alam menggesa kerajaan mewujudkan i-Sinar Plus bagi membantu rakyat yang memerlukan sumber kewangan.
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, perkara itu perlu susulan ramai warga Shah Alam yang memberitahu mereka tiada pendapatan setelah syarikat tempat kerja mereka tidak boleh beroperasi.
“Bulan lepas bayaran i-Sinar terakhir telah diterima dan bulan ini ramai yang menggigit jari.
“Kereta perlu dibayar, sewa perlu diselesai tetapi kerja tiada, duit pun tiada. Inilah masalah apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan lockdown berkuat kuasa tanpa ada sokongan kewangan baharu,” kata Azhari dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas demikian mengenai masalah rakyat di bandaraya yang menghadapi masalah kos sara hidup ketika negara berdepan krisis kesihatan.
Menurut beliau, kerajaan wajar memperkenalkan i-Sinar Plus atau 2.0 untuk memastikan rakyat yang bergaji secara hari dapat menyambung nafas.
Sementara itu, Pengerusi pertubuhan bukan Kerajaan (NGO), 99 Kebajikan Insan Selangor(Kesan), Muhd.Ali Zakariah mencadangkan agar rakyat yang terkesan diberi bantuan kewangan mengikut saiz keluarga masing-masing.
“Tidak kira kerajaan pusat atau negeri, bantulah rakyat yang mempunyai keluarga ramai dengan bantuan kewangan secukupnya.
“Rakyat bukan sahaja bimbang dengan Covid-19 tetapi tanpa bantuan kewangan secukupnya mungkin ramai yang berpotensi untuk mengalami masalah sosial,”katanya. – UTUSAN