PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan akan mempercepatkan program vaksinasi kepada pekerja-pekerja di sektor logistik dalam industri penerbangan dan pelabuhan tempatan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya menyedari keperluan pekerja dalam industri itu untuk menerima suntikan vaksin secepat mungkin.
Beliau berkata, ia penting bagi membantu negara dalam persediaan membuka pintu sempadan serta pemulihan semula ekonomi setelah keadaan kembali selamat.
“Kami sedar sektor logistik menerima impak besar akibat pandemik Covid-19 sejak ia menular di Malaysia.
“Namun, seluruh pekerja sektor logistik sama ada dalam industri penerbangan mahupun pelabuhan terus bekerja keras tanpa mengenal erti penat lelah bagi memastikan pembekalan vaksin untuk rakyat Malaysia berjalan lancar,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Pihaknya telah berbincang dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengenai perkara itu dan memberi jaminan akan mempercepatkan agihan vaksin untuk pekerja di sektor logistik.
Ka Siong berkata, beliau sudah menyerahkan nama pekerja sektor logistik dalam industri penerbangan dan pelabuhan tempatan kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk menerima vaksin.
Dalam pada itu, Ka Siong berkata, setakat 4 Jun lalu, seramai 1,725 (19 peratus) daripada 9,340 kakitangan yang layak di bawah Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dan anak syarikatnya telah menerima suntikan vaksin.
“Seramai 399 kakitangan didapati tidak layak menerima vaksin pada ketika ini kerana faktor yang ditentukan oleh Kementerian Kesihatan termasuk ibu hamil atau menyusu, atau lain-lain faktor perubatan,” katanya.