UMNO berada di mana mana, sedia bantu tangani Covid-19 - Utusan Malaysia

UMNO berada di mana mana, sedia bantu tangani Covid-19

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Semua pemimpin UMNO semua peringkat diseru bersolidariti dan berganding bahu dalam membantu usaha menangani pandemik Covid-19.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kepemimpinan UMNO perlu menggiatkan usaha di kawasan masing-masing untuk menyokong segala inisiatif yang telah dilaksanakan.

“Saya menyeru semua pihak di dalam kepemimpinan UMNO di semua peringkat untuk berganding bahu menangani pandemik Covid-19 ini dalam pelbagai cara yang difikirkan sesuai kerana situasi di negara kita hari ini kita perlukan solidariti. 

“Kita tidak boleh membiarkan hanya kerajaan atau Kementerian Kesihatan semata-mata melakukan segalanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, UMNO perlu membantu kerajaan dan Kementerian Kesihatan perlu dipertingkatkan dan digerakkan oleh kepimpinan parti di seluruh negara.

Antara boleh digerakkan ialah mewujudkan pasukan Sukarelawan UMNO Untuk Covid-19, Unit Bergerak Vaksinasi di setiap kawasan Parlimen diwakili UMNO, Unit Kenderaan Khas bagi membawa orang ramai ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan insentif kewangan.

“Ada banyak yang boleh kita sumbangkan sebenarnya berkaitan usaha menangani Covid-19 ini. UMNO sebenarnya sudah lama membawa naratif membantu rakyat dalam apa sahaja situasi dan itulah yang perlu kita lakukan sekarang. 

“Kita bukan bekerja membantu rakyat dan negara mengikut musim. Kita ada di mana-mana dan bila-bila masa sahaja bersama rakyat dan negara, itulah UMNO sebenarnya,” ujar beliau.

Tambah Mahdzir, dalam situasi kritikal yang dihadapi rakyat dan negara ketika ini, kepimpinan UMNO seluruh peringkat perlu mengambil peluang untuk mendekati rakyat dengan menawarkan pelbagai bantuan yang diperlukan.

Beliau berkata kepimpinan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO juga perlu lebih agresif dalam menggerakkan jentera mereka turun padang membantu rakyat atau pihak berkuasa berkaitan Covid-19.

“Kepada kepimpinan UMNO, Menteri Besar dan Ketua Menteri yang menggalas tanggungjawab di peringkat negeri diucapkan tahniah dan syabas atas segala inisiatif untuk melandaikan kes jangkitan Covid-19 di negeri masing masing.

“Manakala Pengerusi-Pengerusi Perhubungan UMNO di negeri-negeri juga kita rakamkan ucapan terima kasih walaupun bukan sebagai Menteri Besar, tetapi juga telah berusaha untuk membantu menjayakan usaha-usaha menangani Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya