PASIR PUTEH: Ibu tunggal enam anak dari Kampung Tembila, di sini yang menyara keluarga dengan cara mengutip barang lusuh hanya mampu termenung dalam tempoh sekatan pergerakan penuh ketika ini.
Ekoran pusat pembelian barang lusuh tidak beroperasi sepanjang total lockdown kali ini, besi buruk serta botol plastik terpakai dikutip dari tong sampah kini terbiar tidak laku, membuat Nor Azizah Isa, 48, runsing memikirkan nasib diri dan anak-anak.
“Tong sampah bukan lagi punca rezeki kami,” kata wanita itu yang pada mulanya keberatan untuk berkongsi masalah kehidupannya ketika ditemui Utusan Malaysia, di rumah daif mereka di sini, semalam.
Nor Azizah memberitahu, dia selama ini tidak mempunyai sebarang kerja tetap dan hanya mengharapkan hasil jualan barang lusuh berjumlah RM7 hingga RM10 sehari untuk kegunaannya tujuh beranak.
Katanya, beban itu ringan apabila menerima bantuan bulanan yang disalurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain seorang daripada enam anak tinggal di Rumah Anak Yatim Putera Puteri Harapan Tanjung Mas.
“Kerja selongkar tong sampah memang dipandang jijik, namun bagi saya ini cara mendapatkan rezeki halal. Sekarang semua kedai barang lusuh tutup, jadi saya berehat dulu selain bimbang juga kalau dijangkiti Covid-19,” katanya.
Wanita itu pernah berkahwin dengan empat lelaki sepanjang hidupnya dengan suami pertama meninggal dunia dan suami terakhir pula terpisah kerana lelaki itu dihukum penjara akibat kesalahan dadah.
Enam anaknya berusia antara empat tahun hingga 16 tahun dengan dua daripada mereka dikategorikan orang kurang upaya (OKU).
Prihatin dengan nasib tujuh beranak itu, Kelab Volunteer I Care (VIC) diketuai Pengerusinya, Muhammad Afiq Aiman Syukri turut meluangkan masa menyantuni mereka sambil menyalurkan sumbangan.
Menurut Muhammad Afiq Aiman Syukri, pihaknya kini memikul amanah membaiki rumah keluarga itu dan setakat ini sumbangan awal penderma mencecah lebih RM2,000 untuk digunakan bagi menukar bumbung yang bocor. – UTUSAN ONLINE