Sultan Selangor terkejut nisbah pemberian dos vaksin tak seimbang - Utusan Malaysia

Sultan Selangor terkejut nisbah pemberian dos vaksin tak seimbang

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat Selangor.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin terkejut apabila berdasarkan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), Selangor hanya menerima sejumlah 615,210 dos vaksin sehingga 1 Jun lalu dan bukan 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini.

Menurutnya, baginda menegaskan tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan jumlah populasi keseluruhan penduduk di negeri Selangor yang berjumlah 6.5 juta.

“Baginda mengingatkan Selangor adalah penyumbang terbesar dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan untuk negeri ini.

“Dalam situasi sekarang, nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda-agenda lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor turut menzahirkan rasa kecewa dan tidak berkenan dengan kewujudan golongan anti-vaksin di negeri ini serta berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pemahaman terpesong seumpamanya.

Mohamad Munir Bani berkata, baginda percaya vaksin mampu menyelamatkan nyawa individu dan juga sesebuah komuniti masyarakat, khususnya daripada wabak berbahaya seperti Covid-19.

“Baginda bimbang jika masih ada individu atau kumpulan yang berdegil untuk menerima suntikan vaksin, sasaran untuk mencapai imuniti kelompok (herd immunity) menjelang akhir tahun ini tidak akan tercapai sekaligus meletakkan negara dalam krisis wabak yang lebih meruncing dan berbahaya.

“Malah, baginda turut berdukacita melihatkan angka-angka harian kes positif baharu di Selangor yang sentiasa menunjukkan peningkatan dengan jumlah kumulatif kes positif mencecah 203,520 kes dan 961 kematian sehingga semalam,” jelasnya.

Pada masa sama, Mohamad Munir berkata, baginda turut bertitah agar jumlah pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor ditambah, khususnya di kawasan luar bandar.

Jelasnya, baginda berpandangan pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi.

“Baginda turut memuji langkah kerajaan negeri ketika ini yang agresif melakukan ujian saringan Covid-19 secara percuma untuk rakyat di seluruh pelusuk negeri.

“Malah, baginda menasihatkan kepada rakyat yang telah pun menerima suntikan vaksin Covid-19 supaya kekal dalam keadaan waspada dan berhati-hati serta terus mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya