IPOH: Pejabat Pos Kampung Kepayang di Chandan Desa, Simpang Pulai, dekat sini dipecah masuk dengan peti besi dijumpai di atas jalan di luar premis berkenaan hari ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian itu disedari pengurus cawangan pejabat pos berkenaan ketika wanita itu tiba di lokasi pada pukul 8 pagi.
Katanya, pengurus tersebut mendapati pintu kaca hadapan pejabat pos dalam keadaan terbuka ekoran diumpil.
“Pengadu memaklumkan pintu kaca dan roller shutter dalam keadaan separuh terbuka di mana terdapat kanvas berwarna biru menutupi pintu hadapan.
“Pemeriksaan di dalam pejabat pos itu mendapati keadaan berselerak dan peti besi yang berada di dalam premis pula berada di luar pejabat di atas jalan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Yahaya, pengadu juga memberitahu, premis berkenaan dalam keadaan baik semasa kali terakhir ditinggalkan semalam.
Katanya, pemeriksaan pihaknya di lokasi kejadian mendapati dekoder kamera litar tertutup (CCTV) telah rosak dan setakat ini belum mengenal pasti nilai kerosakan ditanggung pihak berkenaan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE