KOTA TINGGI: Pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga namun ia tidak mematahkan semangat seorang ibu tunggal di Felda Lok Heng Timur, di sini untuk berjaya meskipun kini terpaksa ‘bermain’ dengan tanah.
Ibu kepada dua anak, Jamilah Md. Jamil, 37, berkata, dia bersyukur hasil sokongan dan dorongan ahli keluarganya, tanah hampir 40 hektar diusahakan dengan tanaman kontan seperti sayur bendi, sengkuang, pokok pisang dan serai.
Katanya, kebun di tanah Zon Pengeluaran Makanan (ZPM) milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) diusahakan bersama bapa dan adik-beradiknya itu mula dibangunkan pada 2018.
“Selepas bercerai saya menetap di rumah keluarga, saya bertekad untuk buktikan boleh berjaya walaupun melalui pengalaman yang teruk dalam rumah tangga suatu ketika dahulu sehingga pernah menjadi mangsa pemiutang yang dibuat bekas suami. Bahkan saya juga terpaksa membuat laporan polis demi keselamatan anak-anak.
“Selepas berpisah, saya bekerja di syarikat yang berkaitan pertanian. Jadi daripada pengalaman itu sedikit sebanyak saya gunakan sebagai ilmu tambahan sepanjang menjadi petani sehinggalah kami boleh eksport sayur bendi ke Singapura,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Jamilah berkata, bapanya, Md. Jamil Yahya, 60, yang juga seorang petani menjadi tulang belakang kejayaannya dalam bidang itu.
“Apabila saya beritahu ayah mahu kerja kebun, dia seperti was-was namun tidak membantah bahkan menyokong dari belakang. Awalnya saya tanam bendi, dari semasa ke semasa kami lihat sasaran pasaran itu ada jadi daripada situ tanaman-tanaman lain pun kami perluaskan.
“Apa-apa sahaja pekerjaan pasti ada cabaran namun sebagai petani kami perlu cepat ‘move on’ cari jalan penyelesaian dan jangan mudah putus asa.
“Alhamdulillah kami juga baru sahaja menandatangani perjanjian persefahaman dengan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang mahukan tanaman sengkuang. Kebanyakan pasaran kami adalah dalam Johor dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syukur kerana kami tidak terjejas,” katanya.
Jamilah juga merupakan beliawanis Felda Lok Heng Timur yang disenaraikan sebagai usahawan jutawan Felda di atas usaha keras beliau dalam bidang pertanian. – UTUSAN ONLINE