KUALA NERUS: Seorang warga emas berusia 90 tahun bersetuju menerima suntikan vaksin Covid-19 sebagai persediaanmenunaikan solat berjemaah di surau sekiranya kerajaan membenarkan aktiviti itu dengan kapasiti maksimum.
Mat Zin Abdullah, 90, merindui suasana beribadah di surau berdekatan rumahnya di Kampung Tiang Kulat, di sini sekali gus berharap penularan kes Covid-19 di negara ini terus menurun dan dikawal.
Katanya, sebelum ini dia takut menerima suntikan berkenaan walaupun beberapa kali dinasihatkan keluarga namun atas pujukan seorang cucu, Mohd. Safuwan Amir Mohd. Saidi, 30, semalam, akhirnya dia akur untuk divaksin.
“Selain gementar, sebenarnya saya rasa tiada keperluan untuk divaksin sebab sudah lama tidak keluar rumah tetapi keluarga sentiasa memujuk.
“Cucu memberitahu kawan-kawan jemaah surau sudah ramai yang disuntik, jadi saya tidak mahu terkecuali dan berharap selepas Covid-19 pulih dapatlah kami melakukan semula rutin berjemaah,” katanya ketika ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) hari ini.
Menurut Mat Zin, pendaftaran namanya sebagai penerima vaksin Covid-19 dilakukan Mohd. Safuwan Amir yang juga merupakan petugas di PPV berkenaan.
Mat Zin kehilangan isterinya, Zainab Ali yang meninggal pada 2006 itu mempunyai 14 anak, 129 cucu dan 97 cicit. – UTUSAN ONLINE