IPOH: Polis membuka siasatan terhadap aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza berhubung kontroversi poster ‘ayam dan sardin’ melibatkan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.
Ketua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan itu dijalankan susulan laporan polis dibuat Pemuda UMNO Perak kerana didakwa berunsur fitnah dan sengaja menimbul kebencian terhadap Saarani.
“Fahmi dan individu lain yang terbabit dalam kes ini akan dipanggil untuk diambil keterangan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Perak, Mohd. Ariff Abdul Majid membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar semalam ke atas Fahmi berhubung poster memaparkan Saarani dengan catatan ‘kita dah bagi makan sardin, jangan gatal nak mintak ayam pulak’.
Hantaran tersebut dipercayai merujuk kepada kenyataan Saarani sebelum ini berkaitan isu pemberian telefon pintar berkualiti rendah kepada pelajar kurang berkemampuan di negeri ini.
Menurut Mohd. Ariff, poster berkenaan memberi gambaran menteri besar bersikap angkuh dalam isu pemberian telefon pintar kepada pelajar kurang berkemampuan.
“Polis perlu menyiasat Fahmi yang memuatkan naik poster berkenaan di Facebook dan Twitter miliknya kerana ia adalah fitnah dan sengaja menimbulkan kebencian terhadap Saarani,” katanya.
Saarani sebelum ini turut dikecam berikutan kenyataannya iaitu ‘lebih baik ada daripada tiada’ berhubung isu sama di mana telefon pintar percuma itu didakwa tidak memenuhi piawaian pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).