ALOR GAJAH: Seekor penyu karah seberat 40 kilogram tidak sempat mendarat di pantai untuk bertelur apabila ditemukan mati dengan kesan luka mata kail di pesisiran Pantai Tanjung Bidara di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd. Fauzi Solehon berkata, laporan berhubung kejadian diterima pada pukul 4.30 petang dan sepasukan pegawai ke lokasi untuk memeriksa keadaan penyu karah tersebut.
Katanya, hasil pemeriksaan, ia didapati bunting dan dipercayai mati di laut akibat terkena rawai.
“Kemungkinan penyu karah ini terkena rawai kerana terdapat kesan luka mata kail dan kesan luka dibahagian kepala sebelum ditolak arus air ke pantai.
“Penyu juga dalam keadaan bunting dan pernah bertelur di pantai di Melaka kerana terdapat tag yang ditandakan di badan penyu tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, pihaknya memberi amaran kepada para nelayan di negeri ini supaya tidak menggunakan peralatan yang dilarang seperti pukat tagan atau pekap dan rawai tanpa umpan.
“Ini kerana ia boleh menyebabkan penyu tersangkut di pukat dan termakan mata kail kerana mereka tertarik kepada objek berkilat yang disangkakan makanan.
“Sekiranya kita kesan kaedah ini digunakan oleh nelayan, tindakan akan diambil mengikut Akta Perikanan 1985,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE