PASIR SALAK: Penternak lembu di negeri ini menarik nafas lega apabila tempahan lembu mereka melonjak untuk ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha yang sebelum ini agak perlahan disebabkan sekatan pergerakan penuh.
Ini berikutan pengumuman kerajaan negeri yang membenarkan ibadah korban semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), namun, dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Penternak lembu di Air Kuning, Kampung Gajah dekat sini, Muhamad Arif Musa, 25, berkata, sebelum ini dia hanya menerima tempahan lapan ekor lembu untuk sembelihan korban tidak lama lagi.
Menurutnya, selepas kerajaan negeri membenarkan ibadah korban dilaksanakan, tempahan lembu untuk tujuan itu melonjak dan setakat ini, dia telah menerima tempahan 40 ekor lembu.
Katanya, ini sudah tentu melegakannya dan para penternak lain kerana mereka sememangnya menyasarkan untuk menjual ternakan pada musim perayaan terutama Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri.
“Selepas kerajaan negeri mengumumkan korban boleh dilaksanakan semasa PKP, saya mula menerima tempahan dan setakat ini 40 ekor lembu sudah ditempah untuk korban.
“Saya menjangkakan tempahan terus meningkat dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Muhamad Arif yang menternak 700 ekor lembu berkata, peningkatan tempahan melegakannya kerana jika ternakannya tidak terjual, dia terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi terutama kos makanan ternakan.
“Memang melegakan, kerana jika tidak dapat dijual masa Hari Raya Aidiladha kali ini, kami terpaksa tunggu sehingga tahun depan dan ini sudah tentu akan menyebabkan kos terus meningkat, apatah lagi harga makanan ternakan meningkat disebabkan susah memperoleh bekalan kerana kilang tidak beroperasi,” katanya.
Menurutnya, dia hanya menerima tempahan untuk dalam negeri Perak bagi memudahkan penghantaran semasa PKP yang terpaksa memohon surat kebenaran rentas daerah. – UTUSAN ONLINE