Peniaga pakaian berisiko gulung tikar - Utusan Malaysia

Peniaga pakaian berisiko gulung tikar

MOHAMMAD Nafifi Md. Noor menjual pakaian secara dalam talian kepada pelanggan disebabkan PKP ketika ditemui di Bagan Serai, Perak, semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Lebih sebulan tidak berniaga disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peniaga pakaian di bandar ini bimbang jika keadaan itu berterusan, malah ada antara mereka yang terpaksa gulung tikar.

Golongan itu menyifatkan keadaan semakin teruk kerana tiada pendapatan daripada jualan disebabkan PKP yang berpanjangan.

Malah, pengumuman kerajaan yang melanjutkan PKP 3.0 menyebabkan mereka semakin tertekan.

Peniaga pakaian kanak-kanak, Mohammad Nafifi Md. Noor, 32, berkata, perniagaannya tidak beroperasi sejak lebih sebulan lalu iaitu dua hari sebelum Aidilfitri disebabkan PKP diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Daerah Kerian.

“Kami peniaga pakaian diarahkan tutup lebih awal ketika berniaga di Bazar Aidilfitri di sini dan hanya sempat berniaga 14 hari pada Ramadan lalu.

“Sejak itu, perniagaan kami tidak lagi beroperasi,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Taman Prima, di sini semalam.

Menurut Mohammad Nafifi, dia akur pelaksanaan sekatan pergerakan penuh namun berasa tidak adil kerana sektor perkilangan yang bukan keperluan dibenarkan beroperasi.

“Walaupun alasan membenarkan sektor kilang seperti elektronik beroperasi atas dasar ekonomi  negara, apakah peniaga-peniaga kecil seperti kami ini tidak menyumbangkan kepada ekonomi?,” katanya.

Menurutnya, dia kerugian hampir RM2,000 sehari dan tertekan untuk membayar sewa kedai, gaji pekerja serta bil utiliti yang memerlukan sebanyak RM15,000 setiap bulan kerana tidak boleh berniaga.

“Saya mempunyai empat pekerja, walaupun kedai tidak beroperasi gaji mereka tetap saya bayar kerana mereka juga mempunyai tanggungan,” katanya.

Katanya, ketika ini dia menjalankan perniagaan secara dalam talian untuk menampung gaji pekerja dan keperluan  seharian.

“Saya pasarkan melalui dalam talian dan membuat penghantaran sendiri kepada pelanggan dalam radius 10 kilometer.

“Hanya ini yang saya mampu lakukan dan berharap keadaan ini dapat dipertimbang oleh kerajaan bagi mengelakkan peniaga seperti saya gulung tikar, ” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya