PETALING JAYA: Pelantikan Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Ibrahim Abu Shah dan Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi masing-masing sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengikut prosedur ditetapkan serta tiada kaitan dengan politik.
Presiden Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM (Mitasa), Ahmad Faisal Mohamed Fiah berkata, pelantikan kedua-dua individu terbabit seharusnya tidak dikaitkan dengan politik apatah lagi merujuk secara khusus sesebuah parti politik.
Pihaknya percaya pelantikan kedua-duanya melalui proses tertentu mengikut prosedur ditetapkan serta telus dan diperhalusi secara mendalam mengikut kemampuan, pengalaman dan kelayakan dimiliki masing-masing.
“Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim sendiri pernah berkhidmat sebagai Naib Canselor UiTM selain beliau adalah alumni Institut Teknologi MARA (ITM) dan pernah menjadi pemimpin pelajar semasa beliau bergelar mahasiswa ITM.
“Malah Prof. Dr Sazili adalah alumni ITM dan pernah menjawat jawatan Dekan Pengurusan Maklumat UiTM selain beberapa jawatan lain sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor UiTM. Beliau juga pernah menerima Anugerah Kepimpinan Akademik Asia,” katanya dalam kenyataan.
Pada 19 Jun lalu, sebuah portal memetik kenyataan ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mendakwa 13 ahli politik Perikatan Nasional (PN) memegang jawatan penting di universiti awam dan menyifatkan pelantikan itu sebagai tidak wajar.
Dalam pada itu, Ahmad Faisal memberitahu, pihaknya menyatakan rasa kurang senang terhadap kenyataan itu yang mengaitkan pelantikan tersebut dengan politik kepartian atau secara lebih khusus merujuk kepada PN dan UMNO.
“Untuk 11 lagi pelantikan yang turut disenaraikan dalam artikel terbabit, kami percaya universiti lain juga telah melalui proses yang telus serta pelantikan mereka mengambil kira beberapa kriteria yang telah ditetapkan.
“Sungguhpun sebahagian mereka pernah atau masih menjawat jawatan politik, itu bukanlah suatu ukuran bahawa amalan politik kepartian akan dibawa ke dalam universiti sambil setiap antara mereka mempunyai pengalaman dan kepakaran yang boleh dimanfaatkan mahasiswa setiap institusi terbabit.
“Sesetengah pelantikan yang disenaraikan juga merupakan prerogatif Kementerian Pengajian Tinggi dan kami sangat percaya bahawa kementerian itu telah menjalankan proses pemilihan yang sangat telus sebelum sesuatu pelantikan dibuat,” katanya. – UTUSAN ONLINE