IPOH: Seorang pekerja kedai tayar menemukan ajal dalam keadaan tragis dengan mukanya pecah apabila besi ‘beam’ tayar meletup di pusat servis tayar di Menglembu, di sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 10.35 pagi itu, K. Kumaresa, 60, yang cedera parah maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian berlaku semasa mangsa sedang menukar tayar kren dan ketika dalam proses tayar terakhir, kedengaran bunyi letupan dengan besi ‘beam’ tayar meletup sebelum terpelanting terkena mukanya.
Katanya, kejadian itu disaksikan oleh seorang pelanggan yang merupakan pemandu kren berkenaan.
“Saksi yang turut mengalami sakit pendengaran akibat kejadian itu segera memanggil majikan mangsa untuk memaklumkan hal tersebut.
“Mangsa yang parah di bahagian muka disahkan maut oleh petugas perubatan di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.
Menurut Yahaya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada sebarang kesan tikaman, luka, lebam dan calar pada badan lelaki itu.
Katanya, pemeriksaan di sekeliling premis itu juga mendapati tiada sebarang senjata yang berbahaya yang boleh menyebabkan kematian secara jenayah.
“Semasa anggota tiba di tempat kejadian, terdapat seorang lelaki yang berpakaian lengkap terbaring dalam keadaan berlumuran darah di bahagian muka akibat kemalangan semasa bekerja.
“Pemeriksaan juga mendapati hanya terdapat penukul dan tayar kren di hadapan mangsa. Siasatan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN ONLINE