GEORGE TOWN: Polis merekodkan keterangan tujuh individu termasuk Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor semalam berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) di Autocity Juru, Seberang Perai Tengah (SPT) Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, individu yang diambil keterangan ialah dua pengadu termasuk seorang wanita yang merakam video di lokasi kejadian, dua staf syarikat jualan kereta, seorang pemandu serta pengiring kepada Sanusi.
Menurut beliau, empat individu tersebut hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT) manakala Sanusi bersama dua pembantunya di Alor Setar, Kedah.
“Kes tersebut (langgar SOP) masih dalam tindakan pihak polis untuk melengkapkan siasatan. Beri ruang kepada kami untuk menjalankan siasatan.
“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia untuk menemubual pemilik akaun Facebook (FB) yang juga wanita yang merakam video Menteri Besar Kedah didakwa melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP), Nini Siron gagal apabila wanita tersebut enggan memberi komen.
Difahamkan, wanita berusia 38 tahun itu kini berdepan tekanan akibat menerima kecaman warganet berikutan video dan gambar Sanusi bersama dua pembantunya menaiki kereta pacuan empat roda untuk dipandu uji tular sejak Sabtu lalu.
Wanita itu menyaktifkan akaun Facebook miliknya termasuk memadamkan semua status, video dan gambar berkaitan petang semalam.
Terdahulu, wanita tersebut memuat naik video dan gambar lelaki mirip Sanusi bersama tiga lelaki di laman sosialnya selepas terserempak dengan individu berkenaan berhampiran kedai serbaneka di Autocity Juru.
Rakaman video berkenaan telah memperlihatkan tindakan sekumpulan individu terbabit menaiki sebuah kereta pacuan empat roda berwarna biru untuk dipandu uji ketika negara sedang melaksanakan PKP 3.0 penuh.- UTUSAN