PELABUHAN KLANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas makanan tambahan untuk haiwan, Corn Gluten Meal seberat 98,400 kilogram yang dianggarkan bernilai RM291,364.14 di Pelabuhan Klang Utara, di sini kelmarin.
Pengarah Maqis Negeri Selangor, Zamri Hashim berkata, produk makanan haiwan dari Korea tersebut dirampas selepas syarikat tersebut gagal mengemukakan Permit Import Maqis yang sah kepada pegawai penguat kuasa bertugas.
“Penahanan Corn Gluten Meal tersebut adalah hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa Maqis.
“Kesemua barang dagangan ditahan untuk siasatan lanjut,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zamri berkata, makanan tambahan haiwan tersebut adalah untuk makanan ternakan bagi pasaran tempatan.
Katanya lagi, kesalahan tersebut adalah kali kedua dilakukan oleh syarikat yang sama tahun ini.
“Perbuatan mengimport apa juga jenis keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada Maqis adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.
“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN ONLINE