KOTA KINABALU : Seramai 44,925 nama pemandu yang telah berdaftar dengan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP) diminta mengisi borang di laman sosial Facebook agensi berkenaan sebelum atau pada 10 Julai depan.
Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP), Datuk Chin Kim Hiung berkata, agensi berkenaan sedang giat mengumpul data maklumat semua pemandu teksi, kereta sewa, lori, bas, bas persiaran dan e-hailing di negeri ini bagi membantu mereka mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
“Daripada 44,925 pemandu tersebut, 4,693 adalah pemandu bas; 29,626 pemandu lori; 5,184 pemandu teksi dan 5,422 merupakan pemandu e-hailing.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/LPKP-Sabah-150x150.jpeg)
“Data-data yang diperoleh akan diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan bagi tujuan penyelarasan pendaftaran menerusi Program ImunIisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan baru-baru ini.
Tambah Chin, kerajaan mengiktiraf mereka sebagai kumpulan barisan hadapan yang turut memainkan peranan penting dalam sektor pengangkutan di negeri ini.
“Sebagai contohnya, apabila kerajaan Brunei mewajibkan semua pemandu pengangkutan melalui sempadan negara itu pergi atau balik ke Sarawak, ramai pemandu yang terkesan kerana masih belum mendapat vaksin.
“Oleh itu, kita berharap melalui pendaftaran tersebut serta dengan melengkapkan dua dos suntikan, mereka lebih mudah beroperasi sepenuhnya semasa negara menghadapi pandemik ini selain dapat membantu kerajaan mencapai sasaran PICK dan Pelan Pemulihan Negara.
“Adalah menjadi peranan kita semua termasuk kumpulan barisan hadapan pemandu ini untuk sama-sama menjayakan imuniti kelompok dan pelan pemulihan tersebut agar kita dapat menjalankan aktiviti ekonomi seperti biasa,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE