PORT DICKSON: Seorang lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ditahan kerana mencederakan pemandu bas dan melakukan khianat awam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian pada pukul 8.30 malam semalam, pemandu bas berusia 58 tahun yang memberhentikan kenderaanya di tepi pondok hentian bas berhadapan sebuah Klinik Kesihatan Port Dickson telah didatangi oleh suspek seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal.
“Suspek berusia 24 tahun itu menghalang bas yang dipandu mangsa dan selepas itu suspek bertindak memecahkan cermin pintu bas di sebelah kiri pemandu.
“Suspek cuba mencederakan mangsa menggunakan parang sehingga berlaku pergelutan namun mangsa berjaya merampas senjata itu dan menyebabkan suspek terduduk di tempat duduk penumpang bas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Aidi Sham, akibat pergelutan itu mangsa mengalami luka pada jari tangan dan pipi manakala kerosakan bas di bahagian cermin pintu yang pecah dengan anggaran kerugian RM1,000.
“Pemandu bas, seorang pesara dan telah berkhidmat 21 tahun dalam Tentera Darat mempunyai pengalaman dalam Tempur Tanpa Senjata (TTS) berjaya menundukkan suspek dan seterusnya membawa suspek ke Balai Polis Port Dickson.
“Semakan mendapati suspek ada satu rekod jenayah manakala ujian saringan air kencing negatif,” katanya lagi.
Jelas Aidi Sham, punca kejadian masih dalam siasatan dan mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.
Suspek ditahan reman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatang kecederaaan. – UTUSAN