Keluarga tinggal bawah khemah dapat perhatian - Utusan Malaysia

Keluarga tinggal bawah khemah dapat perhatian

KHEMAH yang menjadi tempat tinggal enam beranak di Medan Perniagaan Mambau Utama, Seremban, Negeri Sembilan. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sepasang suami isteri terpaksa tinggal di dalam khemah sebuah tapak kedai makan bersama empat anak berusia empat tahun hingga 11 tahun selepas tidak mampu membayar sewa rumah yang diduduki sebelum ini.

Keluarga itu tinggal di bawah khemah di Medan Perniagaan Mambau Utama tersebut berikutan tidak mempunyai pendapatan mencukupi sejak sebulan lalu.

Norhidayah Khalid, 30 berkata, dia sekeluarga terpaksa menumpang di kedai makan kepunyaan kakaknya itu kerana tiada tempat lain hendak dituju.

“Kami sebelum ini menyewa di sebuah rumah kedai berdekatan dengan kedai cuci kereta namun sejak permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, kami tidak mampu lagi membayar sewa rumah itu.

“Saya ada menerima bantuan daripada seorang lelaki yang mahu membantu menyewakan sebuah bilik di rumah kedai berdekatan sebanyak RM500, namun saya tidak mampu membayar deposit rumah sebanyak RM1,100 dan perlu pula membayar utiliti air serta elektrik,” katanya ketika ditemui semalam.

Norhidayah yang berasal dari Muadzam Shah, Pahang memberitahu, dia sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di kedai makan berkenaan manakala suaminya pula bekerja di kedai mencuci kereta tersebut.

“Bagaimanapun, selepas Hari Raya Aidilfitri tidak ramai pelanggan di kedai makan ini dan kakak saya menutup sementara kedai. Suami saya pula kini bekerja sebagai penyembur sanitasi di rumah-rumah sekitar kawasan ini untuk menyara keperluan,” katanya yang memberitahu suaminya itu memperoleh pendapatan sebanyak RM120 seminggu.

Menurutnya, selama hampir sebulan tinggal di bawah khemah itu, mereka sekeluarga tidur beralaskan tikar dan karpet nipis pemberian orang ramai.

“Jika hujan lebat, saya membawa nak ke rumah kedai yang sepatutnya disewakan kepada kami itu. Bagaimanapun, bilik itu tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.

“Jadi, saya bawa anak-anak saya tinggal di sini. Jika mahu belajar, guru mereka menghantar modul menerusi aplikasi WhatsApp.  Saya ada memaklumkan guru berkenaan yang saya tinggal di bawah khemah ini,” katanya yang pernah menjumpai ular ketika tidur di khemah itu.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia dimaklumkan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan UMNO Bahagian Rembau telah turun padang melihat sendiri kehidupan keluarga tersebut selepas kisah mereka tular dalam media sosial.

Pengasas NGO, Bayt Assayyidah Khadeejah Alkubro, Siti Aishah Johari ketika ditemui memberitahu, dia mengetahui kisah keluarga itu daripada seorang penghantar makanan yang memaklumkan kepadanya.

“Saya menghantar bantuan makanan bagi meringankan beban keluarga ini namun tidak sangka ramai yang datang memberi bantuan. Saya dimaklumkan mereka perlukan sumber kewangan untuk membayar sewa rumah.

“Saya juga difahamkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan akan menyalurkan bantuan dan membayar sewa deposit rumah sewa kedai berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya