BUKIT MERTAJAM: Seorang juruteknik kilang yang didakwa melakukan perbuatan sumbang mahram terhadap anak kandungnya sejak 12 tahun lalu bakal didakwa dengan 14 pertuduhan esok.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, lelaki berusia 45 tahun itu akan berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Butterworth.
Menurut beliau, Timbalan Pendakwa Raya telah mengeluarkan perintah supaya suspek dituduh selepas tempoh remannya berakhir esok.
“Daripada 14 pertuduhan, 12 adalah di bawah Seksyen 376A dan 376B Kanun Keseksaan (KK) (berkaitan rogol dan sumbang mahram).
“Baki dua lagi pertuduhan masing-masing di bawah Seksyen 14(1) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak dan Seksyen 354 KK (kesalahan mencabul),” katanya.
Terdahulu, suspek direman tujuh hari bermula 29 Mei lalu di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).
Dalam kejadian pukul 6.30 pagi di Taman Seri Delima di sini, 25 Mei lalu, mangsa yang kini berusia 18 tahun mendakwa suspek telah meraba kemaluannya semasa ibunya berada di dalam bilik air.
Difahamkan, perbuatan itu bukan kali pertama kerana mangsa mendakwa telah diperkosa sejak berusia enam tahun selain diliwat ketika berusia 15 tahun tanpa pengetahuan ibunya. – UTUSAN