Jayakan Food Bank Siswa di IPT - Utusan Malaysia

Jayakan Food Bank Siswa di IPT

NORAINI Ahmad memeriksa penghantaran barangan makanan kepada pelajar-pelajar IPT melalui projek Food Bank Siswa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerjasama KPT, Sekretariat Food Bank Malaysia

Oleh DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
Menteri Pengajian Tinggi

SEMALAM, saya telah turun ke gudang Sekretariat Food Bank bagi melihat proses penghantaran bantuan makanan  kepada sukarelawan, frontliner dan para pelajar yang berada di Institusi Pengajian tinggi (IPT). Kerjasama ini telah dijalankan sejak lebih setahun yang lalu.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) amat komited dalam usaha untuk memantapkan tadbir urus dan kecekapan  penyaluran bantuan makanan kepada pelajar di IPT. Ini merupakan manifestasi keprihatinan KPT terhadap kebajikan pelajar.

Dalam usaha menambah baik bantuan makanan kepada pelajar, KPT telah mengambil langkah proaktif dengan  mengadakan kerjasama dengan Sekretariat Food Bank bagi menjenama dan menstruktur semula Inisiatif Food Bank Siswa di IPT.

Melalui kerjasama ini, KPT dan Sekretariat Food Bank berazam memastikan struktur mekanisme penyelarasan bantuan  Food Bank Siswa dibentuk lebih sistematik dan berstrategi di IPT.

Inisiatif nafas baharu ini menyasarkan pelajar kategori B40, asnaf, fakir miskin dan berkeperluan sekali gus menangani isu  peningkatan kos sara hidup yang dihadapi oleh pelajar supaya mereka lebih fokus terhadap sesi pembelajaran di kampus  sepanjang tempoh pengajian.

NORAINI Ahmad menerima sumbangan bantuan makanan untuk disalurkan kepada Food bank Siswa IPT yang terjejas akibat Covid-19.

KPT dan Sekretariat Food Bank akan terus mencari rakan-rakan strategik yang lain untuk bersama-sama membantu  menjayakan usaha ini dalam menjaga kebajikan pelajar di IPT.

Struktur Inisiatif Food Bank Siswa baharu di IPT ini bakal melibatkan sukarelawan pelajar yang dilantik sebagai Rakan KPT. Sukarelawan ini akan disusun melalui Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS). Pendekatan ini dilihat amat signifikan sebagai platform memperkasakan bakat kepimpinan pelajar terutamanya dalam isu kebajikan. Mereka ini akan dibantu oleh  Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni di IPT masing-masing.

Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang begitu prihatin terhadap sukarelawan, frontliner dan para pelajar di IPT.

Bagi mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan, boleh terus menghantar ke Food Bank Siswa di IPT dengan  jumlah penglibatan orang yang sangat minima. Agihan akan dibuat oleh para sukarelawan di IPT masing-masing bagi mengurangkan jangkitan virus Covid-19 dari pihak  luar.

Kepada mereka yang ingin menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang, YSS telah menubuhkan tabung khas untuk memudahkan proses bantuan disalurkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya