IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menasihatkan orang ramai terutama pengguna media sosial tidak melayan perbuatan aneh seorang pelakon yang membuat kenyataan bertentangan dengan Islam ketika bersiaran langsung di media sosial.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, mereka yang mengikuti pelakon itu membuat siaran langsung di akaun media sosial miliknya, mungkin akan mendorong pelakon itu terus berbuat demikian.
“Kata-kata yang diucapkan pelakon itu semasa live di media sosial, tak betul, amat bertentangan dengan agama. Jadi, benda tak betul, jangan follow, jangan beri like, tanda menyukai atau penyokong tindakannya.
“Kalau pengguna media sosial tidak melayannya, perkara seperti ini tidak berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mohd. Yusop mengakui JAIPk pernah beberapa menemui dan memberikan nasihat kepada pelakon itu agar tidak mengulangi perbuatannya yang mengeluarkan kata-kata bertentangan dengan agama.
Beliau mengulas mengenai kontroversi terbaru yang dicetuskan pelakon itu dengan tingkah lakunya yang dianggap aneh apabila mengenakan solekan yang menggerunkan pada wajahnya di sebuah aplikasi.
Pelakon itu mengeluarkan kata-kata yang bertentangan dengan agama selepas ditegur oleh seorang pengguna media sosial.
Klip itu mendapat perhatian pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Syed menerusi Instagram yang memberi peringatan kepada pengguna media sosial supaya tidak melayan pelakon terbabit kerana khuatir akidah terpesong.
Pendakwah bebas itu juga menegaskan pelakon itu perlu mendapatkan rawatan kerohanian dan akidah kerana bimbang dia semakin jauh menyimpang. – UTUSAN