GEORGETOWN: Disangka kebakaran rupanya sekadar aktiviti ritual dan pemujaan.
Namun, kepanikan dicetuskan lelaki berusia 23 tahun di sebuah kondominium di tingkat 31 di Persiaran Bukit Gambir, Gelugor menyebabkan dia ditahan polis untuk siasatan lanjut.
Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan daripada jiran lelaki itu yang ternampak asap dan api dari unit tersebut pada pukul 1.55 pagi, Selasa lalu
Menurut beliau, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak bergegas ke lokasi kejadian bagaimanapun mendapati tiada kebakaran sebaliknya aktiviti pemujaan.
“Sebaik pintu dibuka, seorang lelaki sedang melakukan pemujaan dan tiada sebarang kebakaran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan dalam operasi itu, pihak berkuasa menemukan barang-barang pemujaan seperti patung dan lilin serta beberapa gambar pasangan dipercayai bagi ritual berkenaan.
Sementara itu, gambar dan video kejadian tersebut tular di media sosial hari ini yang turut memaparkan situasi ketika lelaki berkenaan sedang melakukan aktiviti pemujaan dan ritual. – UTUSAN