Hilang ibu kerana Covid-19, Afiya tekad jadi doktor - Utusan Malaysia

Hilang ibu kerana Covid-19, Afiya tekad jadi doktor

AFIYA Adzahar bersama bapanya, Adzahar Abu Bakar ketika ditemui di Kampung Bukit Kecil, Paya Dalam, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Seorang pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 bertekad menjadi doktor demi merealisasikan impian arwah ibunya yang meninggal dunia akibat Covid-19, dua minggu lalu.

Afiya Adzahar, 18, adalah pelajar Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Aishah Rohani, Negeri Sembilan yang memperoleh keputusan 9A dalam aliran sains tulen.

Katanya, perasaan gembira memperoleh keputusan cemerlang itu bercampur hiba kerana tidak dapat meraikannya bersama arwah ibu tercinta, Rosliwati Rosdi, 58.

“Saya, abang, ayah dan mama (ibu) dijangkiti Covid-19 namun mama meninggal dunia 28 Mei lalu.

“Saya juga dapat tahu mengenai pemergian mama selepas sehari dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kecil di sini.

Mengulas lanjut, Afiya berkata, arwah ibunya adalah sumber inspirasi dan kekuatan dalam menempuh cabaran kehidupan kerana insan tersebut merupakan penghidap kanser.

“Mama disahkan menghidap barah otak pada 2008 dan berjaya melawan penyakit itu sehingga 2012. Begitu juga ayah yang merupakan survivor kanser pangkal hidung dan kekuatan mereka itu adalah sumber inspirasi kami.

“Mama pernah memberitahu teringin melihat saya menjadi seorang doktor, insya-Allah saya akan merealisasikan impiannya dan bergelar pakar perubatan suatu hari nanti,” ujarnya.

Katanya, sebelum ini dia turut berasa tertekan dan bimbang dengan peperiksaan SPM kerana berdepan dengan masalah capaian internet ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Rumah kami terletak di kawasan pedalaman, jadi capaian internet memang teruk. Namun mama sentiasa memujuk saya untuk tidak mudah berputus asa dan saya yakin mama pasti bangga dengan keputusan SPM saya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya