KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh meruntuhkan semangat dan motivasi murid ketika mereka memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Isu berkenaan gred pemarkahan SPM diturunkan juga tidak seharusnya berbangkit kerana dakwaan tersebut sudah wujud sejak sekian lama walhal kesahihannya tidak dapat dibuktikan oleh mana-mana pihak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, guru dari Sekolah Kebangsaan Kapar, Shamsukama Mohd. Zahri, 45, berkata, dalam keadaan sektor pendidikan berdepan kesukaran akibat pandemik Covid-19, sekarang adalah masa untuk menghargai guru dan murid yang berusaha mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Katanya, bukan mudah untuk mengecapi kejayaan di tengah-tengah mereka terpaksa menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) lebih setahun disebabkan krisis kesihatan yang melanda negara dan seluruh dunia.
“Murid sudah menghadapi krisis emosi yang terlalu lama. Seharusnya, kita menyokong mereka atas usaha mereka selama ini untuk mendapat keputusan peperiksaan yang membanggakan.
“Mereka yang memperoleh gred cemerlang adalah selayaknya mendapat keputusan seperti ini. Jadi tak perlu pertikai kredibiliti mereka disebabkan gred markah peperiksaan kononnya diturunkan.
“Sebab saya percaya guru juga berusaha keras untuk memastikan murid berjaya dan murid di peringkat ini juga sudah cukup matang untuk berdikari dalam menimba ilmu pengetahuan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian mengulas berkenaan isu penurunan skala gred SPM bagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang didakwa daripada Kementerian Pendidikan menerusi pautan dihantar pengguna di media sosial sehingga tular baru-baru ini.
Kejadian itu hadir di tengahtengah semua calon SPM di seluruh negara menerima keputusan peperiksaan masing-masing pada 10 Jun lalu sehingga merekodkan peningkatan walaupun berdepan kesukaran akibat PdPR.
Skala gred tersebut menggambarkan seolah-olah ia adalah gred pemarkahan sebenar untuk SPM tahun 2020 sehingga mengelirukan orang ramai terutama ibu bapa dan calon SPM.
Antara lain, ada yang mendakwa langkah kerajaan menurunkan gred markah SPM ibarat cuba ‘menyapu’ bawah permaidani akan masalah pembelajaran melalui kaedah PdPR yang sehingga kini masih bercelaru.
Kementerian Pendidikan kelmarin bagaimanapun menafikan skala gred SPM itu bukan milik Lembaga Peperiksaan dan menyifatkan ia telah mencemar imej, kewibawaan dan kredibilitinya sebagai badan pentaksiran negara.
Untuk rekod, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pencapaian SPM tahun lalu dengan Gred Purata Nasional (GPN) merekodkan sebanyak 4.80 berbanding 4.86 pada 2019.
Semakin kecil nilai GPN, maka pencapaian calon peperiksaan awam adalah lebih baik.
Beliau berkata, prestasi lima mata pelajaran SPM 2020 meningkat iaitu Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral manakala dua Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menurun.
Mengulas lanjut, Shamsukama yang juga guru mata pelajaran Matematik berkhidmat selama 16 tahun berkata, adalah lebih baik untuk semua pihak mengenang segala pengorbanan murid yang cekal berusaha walaupun berdepan pelbagai halangan.
Beliau juga dimaklumkan ada guru yang sanggup memulakan proses PdPR bermula pukul empat pagi dan pada waktu malam atas permintaan murid.
Malah, menurutnya, perjalanan calon lepasan SPM masih panjang dan apa juga keputusan diperoleh pada peperiksaan itu tidak seharusnya dijadikan kayu ukur dalam menentukan kejayaan seseorang.
“Jika diimbas kembali, murid sudah menyesuaikan diri dengan kaedah baharu belajar dari rumah. Jika mereka berpeluang melanjutkan pelajar di peringkat lebih tinggi, saya yakin mereka sudah bersedia berdasarkan pengalaman yang mereka pernah lalui.
“Sekarang ini, teruskan beri semangat kepada mereka untuk meneruskan pelajaran tidak kira apa keadaan yang berlaku agar mereka terus berjaya dan menjadi insan berguna pada masa akan datang.
“Tentang isu penurunan gred ini, tidak perlu hebahkan lagi. Biarlah ia kekal menjadi khabar angin sahaja kerana tiada pun boleh membuktikan kebenarannya,” katanya. – UTUSAN