PARIT: Seorang guru tidak menyangka hari persaraannya tetap diraikan dengan cara yang istimewa semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Azeman Mat, 60, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iskandar dekat sini, menerima kejutan apabila watikah persaraan diserahkan kepadanya menggunakan khidmat penghantar barangan atau rider yang menaiki motosikal.
Watikah persaraan itu dikirim oleh guru besar sekolah, Rosli Maun.
Selain watikah persaraan, Azeman juga menerima hiasan belon dan jambangan bunga bersama kek serta pulut kuning yang dihantar oleh pengurusan sekolah.
“Saya betul-betul terkejut dan terharu kerana hari persaraan saya diraikan semasa PKP.
“Pada awalnya, saya cuma dimaklumkan majlis persaraan dibuat secara dalam talian, saya tidak jangka ada kejutan yang diberikan guru besar dan rakan sekerja yang lain, terima kasih saya ucapkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Gelung Pepuyu, Bota dekat sini semalam.
Azeman berkata, dia menamatkan perkhidmatan selepas 35 tahun bergelar pendidik setelah mula mengajar di sekolah pertamanya di kawasan pedalaman di Sarawak pada 1986.
Menurutnya, sepanjang bergelar guru, banyak kenangan pahit dan manis yang sentiasa diingati antaranya dua kali perahu dinaikinya karam dipukul arus deras ketika menyeberang Sungai Rajang untuk ke pekan Kapit, Sarawak.
“Jatuh perahu adalah pengalaman pahit yang sangat mencemaskan tetapi tidak melunturkan semangat saya untuk mendidik anak murid di kawasan pendalaman.
“Apa yang istimewa, saya dan seorang lagi rakan merupakan guru pertama dari Semenanjung yang mengajar di Sekolah Rendah Bantuan Sungai Menuan, Kapit Sarawak.
“Saya harap para pelajar sentiasa rajin belajar, mendengar nasihat guru dan jangan culas menyiapkan tugasan biarpun sekarang kelas diadakan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya. – UTUSAN ONLINE