PETALING JAYA: Walaupun sedang menunaikan tanggungjawabnya sebagai ibu, menjaga kandungan yang disayangi sepenuh hati, seorang guru tidak akan pernah lalai dari tanggungjawabnya mendidik anak bangsa dengan mudah.
Cabaran yang hadir ketika pandemik Covid-19 mempunyai impaknya yang tersendiri dalam bidang pendidikan namun para pelajar masih perlu didorongkan dengan ilmu. Proses memandaikan generasi muda perlu terus berjalan.
Di kawasan pedalaman di Ranau, Sabah, seorang guru sanggup mengharungi jalan berbukit dan meniti jambatan gantung dalam keadaan sarat mengandung demi menyampaikan ilmu kepada pelajar.
Begitu pengorbanan seorang guru, Noor Azizah Kauwasa, 36, yang mengambil inisiatif turun ke rumah pelajar demi amanahnya untuk menyampaikan ilmu.
Bukanlah sengaja dia menyusahkan diri tetapi itulah realiti cabaran yang dihadapi para guru di kawasan pedalaman sepanjang pandemik kerana di kawasan yang kurang kemudahan, melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bukanlah semudah di bandar.
Bertugas sebagai guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Ulu Sugut, Ranau, Sabah, Noor Azizah berhadapan cabaran besar ketika mengajar secara dalam talian seperti capaian internet dan akses kepada aplikasi.
Katanya, pelbagai medium digunakan namun tidak berhasil selain kesuntukan masa untuk memastikan setiap pelajar menerima ilmu dan bersedia sebelum melangkah masuk ke dewan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan 1.0, saya cuba mengajar secara dalam talian tetapi tidak berjaya kerana capaian internet di kawasan tempat tinggal pelajar sangat lemah. Kemudian beralih kepada sistem pembelajaran secara panggilan video Whatsapp dan berkongsi video, namun gagal kerana kebanyakan pelajar tinggal di kawasan pedalaman zon tiga yang menerima akses internet 4G kurang dari 80 peratus.
“Disebabkan kesukaran itu, saya mengubah cara pembelajaran melalui edaran bahan melalui format Google Form dan PDF, namun tidak semua pelajar memiliki kemudahan telefon pintar dan aplikasi tersebut. Maka, jalan terakhir adalah mengedar bahan melalui gambar,” kata ibu kepada dua orang anak itu.
Guru itu mengakui berhadapan tekanan dan kekecewaan dengan darjah kesampaian maklumat yang sangat rendah sehingga memberi kesan kepada kehamilannya.
“Jumlah pelajar yang mengikuti PdPR amat kurang.Ini kerana tidak semua pelajar memberi respons. Kemudian, pihak sekolah mengubah cara dengan mengedarkan bahan pengajian di pondok sekolah yang akan diambil oleh wakil pelajar. Proses semakan kerja rumah dilakukan melalui cara mengambil gambar dan semak di dalam telefon bimbit dan itu adalah cara terbaik pada ketika itu,” ujarnya.
Namun, jelasnya, disebabkan masa yang semakin suntuk dan kebimbingan terhadap kesediaan pelajar menduduki SPM, pihak sekolah mencadangkan agar memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka di kawasan tempat tinggal pelajar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Menjelang penghujung November pihak sekolah semakin risau dengan tahap pembelajaran pelajar, jadi guru turun ke kawasan tempat tinggal. Dalam keadaan sarat mengandung, saya melalui jalan kampung yang berbukit dan tidak rata serta berjalan di jambatan gantung untuk masuk ke kawasan perkampungan,” ujarnya.
Katanya lagi, walaupun dia perlu mengeluarkan wang poket sendiri, namun ia tidak seberapa jika mahu dibandingkan kejayaan pelajarnya mendapat keputusan cemerlang, sekaligus mencapai cita-cita yang diinginkan.
“Sayangnya, dua minggu terakhir sebelum SPM, saya tidak dapat bersama pelajar kerana dimasukkan ke hospital selepas mengalami plasenta previa (uri jatuh) ekoran terlalu aktif bergerak, namun doa saya sentiasa mengiringi pelajar.
“Saya sangat sedih kerana tidak dapat menghabiskan pembelajaran pada saat akhir tetapi pelajar kerap menghubungi saya untuk bertanya soalan, selain berkongsi maklumat. Saya juga sentiasa memberi pesanan dan kata-kata semangat kepada mereka,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE