Gadis penakluk gunung cemerlang SPM - Utusan Malaysia

Gadis penakluk gunung cemerlang SPM

SARA  Sofea Muhammah Illaham memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan SPM, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penglibatan dalam aktiviti sukan lasak mendaki gunung tidak menghalang seorang pelajar, Sara Sofea Muhammah Illaham, 18, mencatat keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor itu sebelum ini mencatat kejayaan mendaki ke puncak gunung tertinggi di benua Eropah iaitu Gunung Elbrus di Rusia, setinggi 5,642 meter.

Kejayaan itu diciptanya pada 15 Ogos 2019, di bawah Program Pendakian Belia Merdeka 2020 anjuran Kelab Jelajah Alpine Malaysia, (KJA).

Atas kecemerlangan akademik dan kokurikulumnya itu, KJA menyampaikan sumbangan RM2,000 sebagai insentif dan penghargaan kepadanya, baru-baru ini.

Majlis penyerahan sumbangan itu dilakukan secara dalam talian oleh Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Yang Farina Abdul Aziz yang juga penggiat sukan mendaki gunung.

Sara Sofea bercadang menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran di samping meneruskan minatnya dalam sukan mendaki gunung.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana saya berjaya mencapai sasaran mendapat keputusan 9A dalam SPM baru-baru ini. Terima kasih kepada kedua ibu bapa saya yang sentiasa di belakang memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sara Sofea berkata, dia berasa bertuah kerana bapanya banyak memberi bimbingan dalam sukan mendaki gunung.

Katanya, pengalaman bapanya sebagai Pendaki Everest sangat membantunya dalam semua pendakian sebelum ini.

“Minat dalam sukan mendaki ini  saya teruskan dan merancang untuk pendakian ke gunung lebih tinggi pula selepas ini seperti Gunung Aconcagua, Argentina yang tertinggi di Amerika Selatan dan Gunung Vinson Massif yang tertinggi di benua Antartika,” katanya.

Tambahnya, sukan mendaki gunung yang diceburinya banyak memberi inspirasi untuk berjaya di dalam akademik.

Ini kerana, menurutnya, kepayahan dan keperitan ketika mendaki gunung mengajarnya erti semangat perjuangan dan tidak putus asa dalam apa sahaja yang dilakukan.

“Situasi ketika mendaki gunung yang mencabar itu telah mengajar saya supaya kuat dari segi mental dan fizikal. Semangat itulah yang telah saya gunakan di dalam bidang akademik sehingga saya berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam SPM baru-baru ini,” ujarnya yang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantunya.

Sementara itu, Timbalan Presiden KJA, Zainuddin Lot berkata, pihaknya akan berusaha mencari penaja untuk menyokong impian Sara Sofea menawan dua puncak tertinggi di benua Amerika Selatan dan Antartika itu.

“Kita sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang sudi untuk tampil sebagai penaja kepada ekspedisi tersebut dan berharap Sara Sofea akan membawa nama negara sebagai pendaki wanita termuda Malaysia yang berjaya menawan puncak Aconcagua dan Vinson Massif,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya