Eizlan, Hans Isaac dicadang selesai kes saman fitnah secara mediasi - Utusan Malaysia

Eizlan, Hans Isaac dicadang selesai kes saman fitnah secara mediasi

pemilihan PKR
HANS ISAAC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mencadangkan kes saman fitnah pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof terhadap rakan seperjuangannya, Datuk Hans Isaac diselesaikan secara mediasi.

Hakim Datuk Azimah Omar mencadangkan kedua-dua pihak plaintif (Eizlan) dan defendan (Hans Isaac) merujuk perkara itu ke pusat mediasi mahkamah bagi mencapai persetujuan berhubung bentuk-bentuk penyelesaian yang sesuai diambil kelak.

Mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 12 Ogos ini secara dalam talian bagi membolehkan kedua-dua pihak memaklumkan perkembangan lanjut perkara itu.

Perkembangan tersebut disampaikan kepada pihak media oleh peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Eizlan selepas pengurusan kes hari ini.

Pada prosiding itu, Eizlan diwakili oleh Noor Azfar Azmi manakala Isa Aziz Ibrahim mewakili Hans Isaac.

Eizlan atau nama sebenarnya Idris Md. Yusof, 50, selaku plaintif memfailkan tuntutan saman itu pada 8 Februari lalu dengan menamakan bekas Pengerusi Finas, Gerald Hans Isaac atau Hans Isaac, 50 sebagai defendan tunggal.

Saman itu berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa mengaitkan Eizlan bagi mendapatkan dana untuk syarikat produksi, Excellent Pictures Sdn. Bhd.

Tindakan itu didakwa dilakukan sedangkan plaintif tiada kena mengena dengan syarikat terbabit dalam apa jua kapasiti.

Eizlan mendakwa kata-kata fitnah itu juga membawa maksud beliau telah melakukan jenayah atau berkonspirasi melakukan jenayah, tidak jujur dan tidak berintegriti untuk mendapatkan dana daripada kerajaan.

Plaintif berkata kenyataan defendan itu adalah dusta kerana semasa dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Finas, beliau tiada kena mengena dengan Excellent Pictures, bukan pengarah, bukan pemegang saham, bukan penyumbang dan bukan seorang yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan.

Eizlan turut mendakwa pada 16 November tahun lalu, defendan telah mengungkap, menghebah, menerbit, mengeluar dan menyiarkan kata-kata fitnah itu dalam satu kumpulan Whatsapp (group Whatsapp) bernama `Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM)’.

Kumpulan itu mengandungi 200 ahli daripada penerbit-penerbit filem dan drama televisyen serta penggiat industri seni termasuk plaintif dan defendan.

Plaintif menyatakan, kenyataan fitnah dalam kumpulan Whatsapp itu kemudiannya tersebar ke media sosial lain menyebabkannya kehilangan maruah, dihina dan dijauhi masyarakat umum kerana beliau seorang seniman, pelakon dan artis terkenal.

Justeru, plaintif menuntut antaranya ganti rugi am untuk ditaksir tidak kurang daripada RM2 juta atau sejumlah ganti rugi lain yang ditaksir dan difikirkan munasabah oleh mahkamah, ganti rugi teruk (aggravated) dan ganti rugi teladan (exemplary).

Pelakon itu juga menuntut defendan membuat kenyataan permohonan maaf kepadanya mengikut syarat dan terma yang dicadangkan oleh beliau dan diluluskan mahkamah.

Plaintif turut memohon satu perintah injunksi melarang defendan, ejen-ejen dan pekerjanya sama ada secara langsung atau sebaliknya daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan sama atau berunsur fitnah mengikut syarat dan terma yang ditetapkan mahkamah.

Sementara itu, defendan dalam pernyataan pembelannya yang difailkan pada 17 Mac lalu mendakwa beliau tidak pernah menimbulkan unsur konflik berkepentingan (conflict of interest) terhadap plaintif.

Dakwanya, walaupun plaintif tidak mempunyai sebarang jawatan atau pemegang saham di syarikat Excellent Pictures, beliau pernah berlakon dalam filem-filem serta siri-siri drama yang diterbitkan oleh syarikat itu.

Defendan mendakwa beliau hanya menghantar suatu ungkapan kata ke dalam kumpulan WhatsApp yang mana ia adalah untuk satu kumpulan tertutup dan hanya ahli kumpulan sahaja yang mempunyai akses kepada maklumat tersebut.

“Sebarang maklumat atau apa-apa perkara yang tersebar keluar dari kumpulan Whatsapp, itu merupakan tanggungjawab pentadbir kumpulan (group admin) kerana mereka merupakan pencipta kumpulan Whatsapp itu,” katanya dalam penyataan pembelaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya