SEREMBAN: Dua pusat pemberian vaksin (PPV) industri akan dibuka di sini dan bermula beroperasi pada Julai nanti yang dilihat akan dapat membantu mempercepat proses vaksinasi kepada golongan pekerja khususnya sektor perindustrian di negeri ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, kedua-dua PPV itu akan dibuka di D’tempat Country Club, Bandar Seri Sendayan dan Pusat Perniagaan Cattleya, Senawang.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memberitahu, kewujudan kedua-dua PPV itu adalah menerusi Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
Jelas beliau, menerusi PIKAS yang terletak dibawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, vaksin tersebut akan diberikan kepada pihak industri secara percuma dan pihak kilang pula akan menanggung kos operasi.
“(Ia) memandangkan Negeri Sembilan berhadapan satu gelombang penularan kes yang tinggi dan negeri ini juga mempunyai (kes) sektor perindustrian dan kluster tempat kerja semakin meningkat. Pembukaan PPV industri mengambil kira kilang-kilang pembuatan yang akan diselaraskan oleh kementerian berkaitan.
“PPV di D’Tempat Country Club akan melibatkan beberapa syarikat yang telah berdaftar, ia akan memberi 1,500 dos sehari melibatkan 15,000 pekerja industri termasuk 46 buah kilang di negeri ini pada Julai nanti. Sebuah lagi PPV Industri juga akan dibuka di Pusat Perniagaan Cattleya,” katanya.
Khairy berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Sembilan di Wisma Negeri, Seremban hari ini.
Tambah beliau, operasi PPV industri itu juga akan disokong dengan pembukaan PPV untuk orang awam yang lebih besar di negeri ini iaitu di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai.
Sementara itu jelasnya, dos tambahan vaksin Covid-19 juga akan diberikan kepada Negeri Sembilan supaya negeri ini akan mencapai sebanyak 20,000 suntikan dos sehari pada bulan depan.
Sementara itu, Aminuddin, berkata, setakat hari ini, sebanyak 62 PPV telah dibuka di negeri ini.
“Bermula Jun hingga Julai ini, kerajaan negeri akan menambah 32 PPV di negeri ini yang menjadikan keseluruhan PPV akan beroperasi di negeri ini pada fasa tiga adalah sejumlah 94 buah,” katanya.