PETALING JAYA : Melihat kepada nasib peniaga kecil dan penjaja yang keputusan sumber pendapatan ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan bantuan bagi membantu golongan tersebut menerusi pengumpulan dana daripada ahli-ahlinya.
Usaha tersebut telah pun digerakkan sejak pelaksananan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 18 Mei lalu yang berjaya mengumpul hingga RM20,000 daripada ahli ahlinya.
Menurut Setiausaha Dewan Perniagaan Kubang Pasu (DPKP) Shakina Aris, bermula perintah sekatan pergerakan penuh 1 Jun lalu pihaknya sekali lagi menjalankan kempen mengumpul dana bagi membantu penjaja & peniaga kecil yang terkesan. Sumbangan boleh disalurkan kepada Dewan Perniagaan Kubang Pasu ke Affin Bank (Islamic), nombor akaun 10-667-001198-3.
” Secara peribadi, saya berterima kasih atas inisiatif bantuan yang diumumkan oleh kerajaan tetapi pada masa saya mohon agar dipertimbangkan inisiatif-inisiatif lain seperti internet percuma, bil elektrik dan air percuma, sewa gerai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sewa rumah milik kerajaan percuma hingga Disember ini.
Shakina berkata, pihaknya juga mencadangkan agar diwujudkan zon bebas Covid-19 bagi peniaga menjalankan perniagaan dan ada pelancaran kempen mengenai zon tersebut di semua premis.
Selain itu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diharap memainkankan peranan penting bagi menangani masalah tekanan mental dan juga masalah rumah tangga kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut beliau, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai sekatan seperti Prokalamasi Darurat, PKP, PKPD dan kini sekatan pergerakan penuh selain Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Namun begitu, penurunan kes tidak ketara, menunjukkan ada kelemahan yang perlu diatasi. Justeru katanya, pola penyebaran perlu jelas supaya mudah di atasi di peringkat bawah.
” Jika semua patuh dan jalankan tanggungjawab masing-masing, kita tidak perlu keluarkan berbilion ringgit hanya untuk melawan Covid-19. Jangan sampai kerajaan berhutang yang akhirnya nanti generasi akan datang pula menanggung, ” ujarnya – UTUSAN ONLINE