DUNGUN: Hampir lima hektar hutan tanah gambut di Kampung Balai Besar di sini terbakar, sejak petang semalam.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, sehingga kini kerja-kerja pemadaman masih diteruskan bagi mengelak kebakaran merebak ke lokasi penempatan penduduk yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.
Katanya, seramai 31 pegawai dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Dungun, Paka dan Al-Muktafi Billah Shah terlibat dalam operasi itu selepas menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 3.47 petang.
“Pada awalnya keluasan kebakaran hanya empat hektar, tetapi pagi ini merebak hingga lima hektar.
“Api sudah dipadamkan di sesetengah kawasan cuma masih ada sisa-sisa bara di bahagian bawah tanah yang berisiko untuk kembali terbakar,” katanya kepada pemberita hari ini.
Azman berkata, punca kejadian masih dalam siasatan, namun pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu angkara pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan pembakaran terbuka.
“Kita harap dalam cuaca panas sebegini orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan kebakaran hutan pada skala besar,” katanya. – UTUSAN ONINE