PONTIAN: “Jenazah mereka dikebumikan bersebelahan antara satu sama lain.”
Itu luahan kakitangan Ranhill SAJ, Hamran Tukiman, 57, yang kehilangan empat ahli keluarga sejak 3 Mei lalu dengan dua daripadanya akibat Covid-19.
Menurut Hamran, tahun 2021 membawa 1,000 kedukaan buatnya apabila kakak kandungnya, Fatimah dan tiga ahli keluarganya meninggal dunia dalam tempoh yang berdekatan antara satu sama lain.
Katanya, Fatimah dan anak perempuannya meninggal dunia disebabkan jangkitan Covid-19 setelah menerima rawatan sejak Ahad lalu.
Pemergian empat beranak itu katanya, menyebabkan keluarga arwah kakaknya tidak meninggalkan seorang pun waris selepas seorang lagi anak lelaki mereka turut meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu.
“Kisah duka ini bermula dengan pemergian anak saudara lelaki saya, Mohd. Azrul Nizam Hamidon yang meninggal dunia pada usia 32 tahun akibat masalah obesiti pada 3 Mei lalu di Hospital Pontian, di sini.
“40 hari kemudian, bapanya, Hamidon Saat yang berusia 64 tahun pula meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru disebabkan komplikasi pelbagai penyakit kronik pada pertengahan bulan ini,” katanya ketika dihubungi di sini.
Hamran yang kini menetap di Kluang berkata, pemergian abang iparnya dan anak saudaranya itu yang masih ditangisi dikejutkan pula dengan berita sedih melibatkan kakaknya dan anak perempuan sulung keluarga itu, Nor Azarina, 38, yang meninggal dunia akibat Covid-19.
“Mereka dimasukkan ke hospital pada 20 Jun lalu sebelum Nor Azarina dilaporkan meninggal dunia pada hari sama manakala ibunya menghadap Ilahi semalam,” katanya yang teresak-esak ketika menceritakan kejadian itu.
Jelasnya, Allahyarham Mohd. Azrul Nizam telah berkahwin, namun tidak mempunyai cahaya mata, manakala Allahyarhamah Nor Azarina pula belum mendirikan rumah tangga.
“Allahyarham Hamidon dan Fatimah juga merupakan pesara Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan jenazah mereka dikebumikan bersebelahan antara satu sama lain di Tanah Perkuburan Islam Parit Ibrahim bersama anak-anak mereka,“ ujarnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan (3) Mukim Pontian, Zaini Saat berkata, kejadian itu merupakan peristiwa yang paling menyayat hati buat penduduk kerana empat ahli keluarga meninggal dunia dalam tempoh dekat dan belum pernah berlaku di Kampung Parit Ibrahim. – UTUSAN