Cemerlang dalam suasana baharu - Utusan Malaysia

Cemerlang dalam suasana baharu

NUR Aisyah Zakaria menunjukkan keputusan SPM kepada Siti Hawa Ahmad dan Zakaria Ahmad di Kampung Teluk Nibong, Langkawi, Kedah, semalam. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: “Semangat saya luntur selepas dimaklumkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 ditangguh dari tarikh asal disebabkan Covid-19, namun saya bersyukur kerana tetap memperoleh keputusan cemerlang.”

Itu cabaran dihadapi pelajar Maktab Mahmud Langkawi, Nur Aisyah Zakaria, 18, yang memperoleh keputusan 11A dalam peperiksaan itu yang diumumkan, semalam.

Remaja itu yang tinggal di Kampung Teluk Nibong di sini berkata, dia juga menjalani kehidupan dalam suasana baharu apabila semua pelajar diwajibkan tinggal di asrama pada sesi persekolahan lalu.

“Saya terpaksa berdikari tinggal di asrama dan belajar bersama rakan-rakan lain berbanding sebelum ini tinggal di rumah dalam suasana yang lebih selesa.

“Saya menelefon ibu setiap hari peperiksaan berlangsung untuk meminta restu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Anak kedua daripada tujuh beradik itu berkata, dia dan rakan-rakan terpaksa mengikuti pelajaran tanpa bersemuka dengan guru, sebaliknya secara dalam talian menerusi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menurutnya, dia juga agak ketinggalan pada peringkat awal sesi PdPR kerana selama ini hanya belajar secara bersemuka sahaja.

“Saya banyak menggunakan aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan medium bahan pengajaran daripada guru atau bertanya soalan sekiranya tidak faham dalam mata pelajaran tertentu,” ujarnya.

Selain itu, Nur Aisyah yang bercita-cita menjadi pensyarah memberitahu, dia mengamalkan surah al-Mulk dan berpuasa setiap hari Isnin dan Khamis di samping mengulangkaji pelajaran di awal pagi selepas solat Subuh.

Sementara itu, ibunya, Siti Hawa Ahmad, 44 yang bekerja sebagai guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) berkata, dia dan suaminya, Zakaria Ahmad, 44, yang bekerja sebagai pemandu lori bersyukur dengan kejayaan anaknya yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.

“Nur Aisyah sangat rajin mengulangkaji pelajaran. Walaupun ada guru yang memberi tip dan latihan soalan-soalan peperiksaan, dia tetap membaca kesemua buku latihan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya