KUALA LUMPUR: Pelakon, Neera Azizi, meluahkan rasa berang dengan sikap berdiam diri seorang produser yang didakwa masih belum melunaskan gaji lakonannya sejak dua bulan lalu.
Dalam hantaran di InstaStory miliknya, pelakon Kiblat Yang Hilang itu juga mendakwa produser tersebut bersikap melampau kerana tidak memberi respon terhadap para pelakon lain apabila diajukan tentang tunggakan bayaran.
“Agak-agaklah dua bulan dah tak bayar. Dengar cerita kaya sangat. Tolonglah faham kami ini bukan nak pinjam duit atau minta sedekah. Nak minta duit kerja sendiri.
“Bila ramai bising dalam group, senyap saja. Tak ada respon. Okay baiklah! Awak buat tahi (hal), saya pun begitu,” dakwanya.
Meskipun tidak dinyatakan dengan jelas siapakah produser berkenaan, Neera Azizi atau nama penuhnya Nurazneera Azizi, 22, bagaimanapun memberi bayangan, produser tersebut mempunyai saluran sendiri.
“Ramai tanya… tapi rasanya semua orang tahu sebab tag line dia “Memang Awesome”. Macam inilah bos, eh salah, Datuk. Kalau rasa tak ada duit nak bayar apa kata jual saja beg tangan isteri. Saya perasan setiap kali datang set penggambaran, bertukar-tukar beg.
“Kalau jual semua beg itu, dah boleh bayar semua gaji artis. Kesian juga tengok krew-krew tunggu bayaran,” dakwanya.