Beruang, harimau berkeliaran di Felda Perasu - Utusan Malaysia

Beruang, harimau berkeliaran di Felda Perasu

MOHD. Zain Hassan menunjukkan pokok kelapa yang musnah dipercayai angkara beruang di Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kira-kira 200 keluarga peneroka di Rancangan Tanah Felda Perasu, di sini hidup dalam ketakutan sejak tiga hari lalu berikutan beruang dan harimau dikatakan berkeliaran di kebun dan kawasan sekitar rumah mereka.

Difahamkan, beberapa peneroka dan keluarga pernah terserempak dengan dua spesies haiwan buas tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peneroka, Mohd. Zain Hassan, 72, berkata, ancaman beruang sudah lama dilaporkan di tanah rancangan itu namun haiwan terbabit masih gagal ditangkap.

Terbaharu, mereka dikejutkan dengan ancaman harimau pula yang dikatakan membaham dua ekor lembu ternakan peneroka awal pagi kelmarin.

“Dua haiwan berkenaan kerap berkeliaran pada waktu malam dan awal pagi.

“Kami bimbang jika tidak diambil tindakan segera bagi menghalau atau menangkap haiwan ini, bukan sahaja ternakan dan tanama  malah nyawa penduduk dalam bahaya,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi peneroka, Wan Norida Wan Daud, 57, pula berkata, dalam kejadian terbaharu awal pagi semalam, beberapa pokok kelapa di belakang rumahnya terjejas dipercayai angkara beruang dan seluruh keluarganya kini hidup dalam ketakutan.

“Kira-kira pukul 7.30 pagi saya keluar memberi makanan ikan di kolam dan terkejut melihat pokok kelapa terjejas.

“Sebelum itu pada pukul 5.30 pagi ketika buat kuih untuk dijual, saya terdengar bunyi pelik namun menyangka babi hutan sedang mencari makanan. Rupa-rupanya beruang sedang memusnahkan pokok kelapa,” katanya.

Difahamkan, sebelum ini peneroka di kawasan itu pernah membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) namun setakat ini haiwan buas terbabit belum berjaya ditangkap pihak berkuasa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya