KUALA LUMPUR : Penyanyi yang juga kekasih kepada Ismail Izzani, Shalma Eliana, 21, memberi bayangan bahawa tiada sebarang majlis pertunangan akan berlaku dalam masa terdekat ini sebagaimana yang mungkin diramalkan oleh peminat dan pengikut mereka.
Menurut Shalma, pertimbangan tersebut dilakukannya memandangkan Shalma sendiri mahu meneruskan hasrat utamanya untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah di luar negara.
“Tentulah saya dan Ismail ada perancangan untuk ke arah itu (menamatkan zaman bujang). Malah, apa yang boleh saya katakan, hubungan kami juga serius setakat ini.
“Cuma untuk bertunang itu bukan sekarang. Saya nak sambung dan habiskan pengajian di luar negara dahulu, kemudian barulah kami akan teruskan hajat untuk ke arah itu.
“ Lagipun, keluarga juga sangat-sangat menyokong hasrat saya untuk sambung belajar, jadi masih lambat lagi untuk kami berdua bertunang atau berkahwin itu. Mungkin ketika usia saya mencecah 25 tahun, itu perancangannya,”katanya.
Shalma berkata demikian semasa ditemu bual dalam satu sidang media yang diadakan secara virtual sempena pelancaran single terbarunya berjudul Rambang selain single bersama penyanyi rap Abu Bakar Ali menerusi lagu berjudul Naik.
Selain itu, berkongsi mengenai hubungannya dengan penyanyi lagu Ada Cara dan Demi Kita itu, menurut Shalma sudah tentu perbezaannya dapat dirasa memandangkan sebelum ini kedua-dua mereka sering keluar bersama.
“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik, kami berdua sering keluar, makan sama-sama, lepak atau buat aktiviti bersama. Tapi sejak keadaan jadi macam ini, memang terasalah berbeza,”katanya.
Dalam pada itu, kata Shalma, memandangkan pandemik masih belum pulih, dia juga terpaksa akur untuk menangguhkan urusan menyambung pengajian ke negara pilihannya di United Kingdom (UK).
“Setelah keadaan semua okey dan pulih, saya tetap akan teruskan impian untuk ke sana bagi menyambung pengajian. Buat masa ini bidang yang ingin saya dalami juga masih belum dapat dipastikan.
“Mungkin dalam bidang bisnes atau komunikasi media sebagaimana yang pernah saya ambil ketika Diploma sebelum ini. Universiti mana juga belum dapat saya putuskan lagi sebab banyak aspek perlu diberi perhatian terutamanya lokasi,”katanya.