Bank makanan masjid talian hayat ketika PKP  - Utusan Malaysia

Bank makanan masjid talian hayat ketika PKP 

BEKALAN makanan di MYTGT Food Bank di Masjid Tuan Guru di Tanjong Tokong, Pulau Pinang ditambah setiap dua minggu berbanding sebulan sekali ketika PKP dilaksanakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kewujudan bank makanan di masjid-masjid di negeri ini boleh diumpamakan sebagai talian hayat buat mereka yang terputus bekalan makanan ketika pandemik Covid-19, lebih-lebih lagi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Setiausaha Masjid Tarik Air, Jalan Burma di sini, Datuk Kamarudin Abdullah mengakui jumlah mereka yang mendapatkan bantuan bekalan makanan menerusi bank makanan di masjid berkenaan meningkat sejak PKP dilaksanakan. 

Katanya, inisiatif bank makanan itu dilaksanakan sejak tiga tahun lalu dan lebih dua tan metrik barangan keperluan termasuk beras, susu dan sardin diedarkan kepada mereka yang memerlukan menerusi bank makanan itu. 

“Bagi mereka yang terputus bekalan makanan, jangan malu untuk datang mengambil hak anda di bank makanan di Masjid Tarik Air ini. 

“Bekalan makanan di sini sentiasa ditambah sekitar dua minggu sekali  mengikut keperluan orang ramai dan kami bersyukur kerana ramai yang menyumbang bekalan untuk diletakkan di bank makanan ini,” katanya di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Pengerusi Biro Belia dan Multimedia Masjid Tuan Guru di Tanjong Tokong, Mohd. Firdaus Nawawi berkata, setakat ini lebih 100 keluarga telah mendapatkan bantuan bekalan makanan di bank makanan yang dikenali sebagai MY TGT Food Bank di situ. 

”Sebelum PKP, sekitar 50 keluarga sahaja yang akan mendapatkan barang keperluan mereka di bank makanan di sini. 

“Kami dapati jumlah keluarga yang mendapatkan bantuan MY TGT Food Bank di sini meningkat sehingga 100 keluarga sejak awal bulan ini,” katanya. 

Menurutnya, barangan keperluan yang diletakkan di dalam bank makanan di masjid itu juga ditambah sekitar dua minggu sekali berbanding sebulan sekali sebelum ini. 

“Sumbangan daripada orang ramai juga tidak putus-putus kepada pihak masjid untuk diedarkan kepada orang ramai. 

“Jadi selain meletakkan barangan di bank makanan, kami turut mengedarkan pek bekalan makanan kepada orang ramai yang didapati kehilangan punca pendapatan ketika PKP,” katanya. 

Tambahnya, pihak masjid sentiasa terbuka untuk menghulurkan bantuan dan diharapkan usaha ini dapat mendekatkan orang dengan masjid. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya