KUALA LUMPUR: Penyanyidan komposer terkenal, Altimet, menegur serta menasihati Dr. Rafidah untuk tidak berjenaka dengan mereka yang telah meninggal dunia akibat Covid-19.
“Jangan melawak fasal rakyat yang dah pergi akibat gejala ini, tolong ya. Kurang manis. Kurang sensitif. Kurang minat,” ujar Altimet yang berkongsi semula tangkap layar itu.
Terdahulu ciapan seorang pengguna memaklumkan katil unit rawatan rapi ( ICU ) hampir penuh dengan pesakit Covid-19.
Membalas kepada ciapan itu, kenyataan Dr. Rafidah mengundang kecaman pelayar Twitter yang menyifatkan dia tidak sensitif dengan keluarga pesakit yang meninggal dunia disebabkan wabak itu.
“Tu 98 dikosongkan,” tulis Dr. Rafidah.
Gara-gara “salah bual”, ciapan itu dibanjiri kecaman orang ramai, namun Dr. Rafidah tampil membuat permohonan maaf.
“Saya mohon maaf kepada semua. Kematian tidak pernah sekali menjadi satu perkara jenaka bagi saya termasuk pengamal perubatan profesional. Cuma ICU di seluruh negara dah tak boleh tampung. Kepada mereka yang telah kehilangan orang tercinta. Takziah diucapkan,” tulisnya lagi.
Bagaimanapun, ciapan terdahulu sudah dipadamkan gara-gara terlalu ramai yang salah faham.