PUTRAJAYA: Lebih 3.2 juta atau 10 peratus daripada penduduk negara ini dijangka melengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19 menjelang pertengahan bulan depan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan bekalan vaksin yang diterima dan keupayaan serta kapasiti pusat pemberian vaksin (PPV) sedia ada.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, jumlah jangkaan itu mewakili 10 peratus daripada atau 3.2 juta rakyat di seluruh negara.
“Kami menjangkakan kira-kira 8 juta dos vaksin akan diagihkan menjelang akhir bulan ini dan 10.7 juta dos pada pertengahan bulan depan.
“Ketika ini, bagi setiap 100 dos yang kami berikan, 30 dos adalah dos kedua,” katanya dalam sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini.
Setakat semalam, sebanyak 5,815,575 dos pertama dan kedua vaksin diberikan.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) juga memaklumkan, seramai 4,202,601 menerima dos pertama, manakala 1,612,974 lagi individu melengkapkan dos kedua.
Pada masa sama, Khairy berkata, lebih banyak PPV dibuka di seluruh negara dalam masa terdekat bagi mencapai sasaran itu.
Menurutnya, terbaharu, PPV terbesar iaitu Stadium Bukit Jalil mula beroperasi hari ini dengan kapasiti 5,000 suntikan dos sehari dan ia juga mampu mengendalikan kapasiti maksimum sehingga 10,000 dos sehari.
“Turut dibuka hari ini adalah PPV mega di Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang mempunyai kapasiti 3,000 suntikan sehari.
“Selain itu, 17 PPV awam baharu turut beroperasi hari ini masing-masing di Sabah, Sarawak, Terengganu dan Labuan,” katanya.
Kata Khairy, setakat ini juga, sebanyak 782 PPV swasta di buka di seluruh negara yang dikendalikan pengamal perubatan swasta dan ia mula beroperasi sejak 3 Mei lalu. – UTUSAN