10 tahun merantau dan mendidik murid-murid Kinabatangan - Utusan Malaysia

10 tahun merantau dan mendidik murid-murid Kinabatangan

NASIR memperuntukkan masa selama beberapa minit untuk memberi penerangan kepada murid di dalam sampan di Kampung Tulang-Tulang Kinabatangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERISTIWA guru sekolah Kuamut dihempap kayu balak tujuh tahun lalu sehingga mengorbankan empat penumpang lain ketika menaiki kenderaan pacuan empat roda masih segar dalam ingatan.

Jalan yang tidak berturap di kawasan itu akan dipenuhi lumpur dan sangat mencabar untuk dilalui ketika hujung tahun akibat musim tengkujuh. Kereta akan terkandas dan tenggelam di dalam lumpur.

Penduduk di mukim itu juga sudah terputus hubungan menggunakan laluan darat disebabkan pembinaan jalan terhenti akibat runtuhan jambatan.

Disebabkan itu, laluan sungai menggunakan sampan dari Kampung Kuamut menjadi alternatif untuk ke Kampung Pengkalan Bukit Garam dengan jarak enam jam bagi mencari barang keperluan.

Namun, pejam celik sudah 10 tahun, Nasir Jamal, 39, menempuh semua cabaran dan ranjau kehidupan itu.

NASIR JAMAL

Pernah bergiat aktif dalam pasukan simpanan Tentera Laut semasa menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, membuatkan anak kelahiran Padang Rengas, Perak itu begitu teruja berkhidmat di sekolah pedalaman.

Cintanya terhadap dunia pendidikan memateri dirinya sedekad menabur bakti di Sekolah Kebangsaan Desa Permai, Kinabatangan, Sabah.

SK Desa Permai yang bergantung kepada sumber air sungai dan tadahan hujan mempunyai seramai 10 murid dan enam guru.

Jarak sekolah pedalaman tahap tiga itu ke Kinabatangan menaiki perahu mengambil masa selama enam jam.

Jelasnya, sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berjalan, guru-guru mengambil inisiatif sendiri menghantar modul pembelajaran menggunakan perahu selama sekali atau dua kali seminggu, bergantung keadaan.

“Hendak guna alat peranti dan talian telefon adalah amat mustahil di kawasan ini. Modul yang disediakan biasanya cukup untuk lima hari.

“Pada hujung minggu, wakil guru atau saya sendiri akan mengutip modul-modul yang diberikan. Seringkali juga kerja yang diberikan tidak disiapkan, jadi saya dan kawan-kawan perlu mengajar secara bersemuka selama beberapa minit bagi menjelaskan topik tertentu di dalam sampan.

“Kebiasaannya hanya melibatkan seorang atau dua murid yang tidak faham. Cara ini juga bagi memastikan kerja murid siap dan mengurangkan kontak dengan ahli keluarga murid.

“Disebabkan kos minyak yang tinggi, saya tidak boleh berjumpa dengan murid secara kerap selain SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan perhubungan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nasir yang pernah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang 2015 berkata, soalan- soalan harus diterangkan dengan teliti disebabkan golongan murid agak terkebelakang.

“Jika bercerita tentang laut atau kereta api, kadang-kadang mereka terdiam kerana tidak pernah melihat dalam kaca televisyen. Tidak dinafikan disebabkan persaingan yang kurang dan tiada faktor yang mendorong, semangat mereka untuk belajar juga kurang.

“Sebagai guru, kami sentiasa memberi galakan setiap kali mengajar dengan memberi hadiah sebagai inisiatif untuk menarik minat mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nasir berkata, penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira tidak menjadi kegusaran pihak guru kerana peringkat menaakul lebih mencabar.

“Saya merasakan menaakul dapat diasah apabila persekitarannya tersedia wujud di sekeliling murid. Kami berusaha membantu pelajar menguasai kemahiran 3M, manakala, menaakul memerlukan usaha lebih serta pengetahuan lebih banyak kepada murid,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Nasir yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Maklumat berkata, dia pernah mengajar murid orang kurang upaya (OKU) sehingga tamat darjah enam di sekolah itu.

Walaupun, sehingga tamat sesi persekolahan murid itu tidak mampu menulis dan mengeja, dia tetap berpuas hati kerana sudah berusaha sehabis baik.

“Kami hanya mampu mengajar dia menguruskan dirinya kerana kami tidak mempunyai kemampuan untuk mengajar pendidikan khas. Namun, kami tetap mengajarnya serta menerima sesiapa sahaja ke sekolah ini,” tuturnya.

Nasir turut mengambil inisiatif memuat turun buku teks digital disebabkan bekalan buku teks yang berkurangan selain faktor kebanyakan ibu bapa tidak boleh membaca.

Menurut Nasir, rata-rata muridnya datang dari Kampung Tulang-Tulang yang terletak di kawasan hulu sungai yang masih tiada sumber elektrik serta talian telefon. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya