JOHOR BAHRU: Keadaan penyanyi veteran, Zaleha Hamid yang diserang angin ahmar sehingga terlantar koma sejak awal tahun lepas mula beransur pulih selepas daya ingatannya juga kembali kuat sejak kebelakangan ini.
Malah, pemilik nama sebenar Siti Zaleha Abdul Hamid, 66, yang pernah membuat kemunculan dalam program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim keenam juga kini dapat mengingati beberapa nama artis termasuk Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini dan Allahyarham Datuk Ahmad Jais.
Menurut suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 56, Zaleha sudah mampu berkomunikasi dan mengimbas kembali pelbagai kenangan bersama keluarga mahupun rakan artis seperjuangannya.
Katanya, dia dan anak bongsu, Ungku Nor Muhammad Daniel, 24, sentiasa memberi kata-kata semangat kepada Zaleha supaya kembali sihat dan menjalani kehidupan normal.
“Dia diserang angin ahmar pada awal tahun 2020 sehingga koma dan mula sedar diri pada November tahun lalu, Alhamdulillah kini daya ingatan Zaleha semakin pulih dan sembuh 80 peratus termasuk dapat mengimbas kembali nama lagu dan barisan penyanyi popular pada era 80-an.
“Saya sentiasa memasang radio dalam usaha mengembalikan ingatannya dan sejak beberapa bulan lalu dia mampu ingat nama artis termasuk Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini dan Allahyarham Datuk Ahmad Jais,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya, hari ini.
Terdahulu, Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) diketuai wakilnya, Nasir Ishak singgah menyampaikan sumbangan wang tunai RM500 serta barangan keperluan kepada keluarga Zaleha di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama, di sini.
Ujar Ungku Sulaiman, selain menjaga kebersihan diri isterinya itu, mereka dua beranak turut menyediakan bubur nasi selain membantu menggerakkan tangan dan kaki Zaleha.
“Syukur Nor Muhammad Daniel ada untuk bantu saya, selain anak sulung lelaki, Ungku Child Zafirulazman yang kini bekerja di Kedah kerap menghubungi kami bagi mengikuti perkembangan ibunya serta menyumbang wang sekadar mampu.
“Ia berikutan kami perlu membeli lampin pakai buang bagi kegunaan Zaleha, mujur juga kami ada terima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500 yang sudah tentu sedikit sebanyak dapat menampung kos.
Ungku Aziz yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan turut terpaksa berhenti kerja bagi menguruskan Zaleha yang memerlukan penjagaan rapi dan pemerhatian khusus.
“Anak juga masih menangguh hasrat untuk sambung belajar kerana membantu saya menjaga Zaleha dan saya berharap isteri saya diberi kesembuhan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban mereka sekeluarga boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 101011611981 atas nama Siti Zaleha. -UTUSAN ONLINE